Orang ramai memeriksa mata pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah bantuan rakyat di Stadium Utama Kuala Selangor 2 Julai

SHAH ALAM, 27 JUN: Siri Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal inisiatif baharu dan ditambah baik diteruskan di Stadium Utama Kuala Selangor Sabtu ini.

Program bermula 8 pagi hingga 5.30 petang dijadual dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kira-kira jam 11 pagi.

Pelbagai acara diatur dalam acara itu antaranya persembahan artis termasuk Wany Hasrita, senamrobik, pertandingan sukan rakyat, e-sukan dan derma darah.

Turut diadakan, simbolik penyerahan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor, bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor selain program Puspanita dan forum kesihatan.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, acara sama yang berlangsung di Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun dan Dataran Pantai Morib Kuala Langat pada 25 Jun mendapat sambutan menggalakkan.


Pengarang :