Pegawai kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan pemeriksaan bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di taman perumahan sekitar Klang. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

MPK: Pemeriksaan kerap dari rumah ke rumah, hapus nyamuk Aedes

SHAH ALAM, 16 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerap melaksanakan pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatannya Zakaria Ismail berkata tindakan itu bagi memastikan kes demam denggi di daerah itu berkurangan.

“MPK turut melaksanakan semburan asap (fogging) di sekitar kawasan perumahan di daerah ini secara berperingkat pada sebelah petang.

“Kita memohon penduduk sekitar menjaga kebersihan dan tidak membiarkan kawasan persekitaran menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Zakaria, pemeriksaan secara kerap itu selepas mengambil kira peningkatan kes demam denggi di daerah itu sejumlah 2,886 kes sejak awal tahun lalu.

Beliau menjelaskan sebanyak 157 kes baharu demam denggi dicatatkan pada minggu epid ke-22 termasuk dua kes baharu di Taman Meru Indah minggu lalu.

“Cuaca kini agak tidak menentu terutama pada waktu panas ia boleh mempercepatkan tumbesaran nyamuk daripada telur kepada nyamuk dewasa.

“Justeru, kami memohon penduduk sentiasa peka dan tidak membiarkan kawasan kediaman menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.


Pengarang :