Buku Gelagat dan Ragam Orang Melayu karya Frank Swettenham terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto IBDE
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pengamatan Frank Swettenham terhadap Melayu, dari latah hingga amuk

Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sekali lagi menjadi perhatian ulat buku menerusi projek penterjemahan buku Malay Sketches tulisan bekas pegawai kolonial British di Tanah Melayu, Frank Swettenham.

Memilih tajuk Gelagat dan Ragam Orang Melayu, naskhah terkenal yang pernah diterjemah sebelum ini dengan tajuk berbeza; menelusuri pandangan penjajah terhadap masyarakat Melayu di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada abad ke-19, khususnya Perak.

Penterjemah Ahmad Zamani Ishak dan Norziati Rosman serta Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi berkongsi pengalaman membedah dokumen yang dinukilkan orientalis Inggeris itu semasa proses penterjemahan dan penyuntingan.

Mengapa IBDE memilih Frank Swettenham: Gelagat & Ragam Orang Melayu untuk projek terjemahan terbaharu?

Farhan: Misi IBDE ialah untuk memperkaya khazanah persuratan berbahasa Melayu. Terdapat masih banyak karya penting dalam bahasa asing yang belum diterjemahkan dan salah satunya adalah Malay Sketches, karya Frank Swettenham. Naskhah ini dipilih sebagai buku pertama dalam siri terjemahan buku-buku yang dihasilkan oleh penulis-penulis British dari zaman sebelum Tanah Melayu merdeka. Ada beberapa lagi karya penulis seperti beliau dan juga pengkaji dunia Timur lain yang akan kita terjemah dan terbitkan.

Ada naskhah lain tulisan Frank Swettenham yang turut mengisahkan kehidupan orang Melayu sebelum karya bertajuk Malay Sketches diputuskan untuk diterjemah?

Farhan: Malay Sketches yang pertama dipilih. Selain buku ini, IBDE berhasrat untuk juga menterjemah dan menerbitkan bukunya yang berjudul British Malaya.

Ahmad Zamani: Sepengetahuan saya, Frank Swettenham menghasilkan naskhah yang berjudul Real Malay. Jika dalam Malay Sketches (Gelagat & Ragam Orang Melayu – naskhah terjemahan), isinya banyak berkisar kepada orang Melayu di Selangor dan Perak, Real Malay pula lebih berkisar kepada orang-orang Melayu di Pulau Pinang (termasuk Seberang Prai) dan juga Perak.

Bagaimana proses terjemahan selepas melihat teks asal?

Norziati: Pertama sekali saya merasa amat bangga kerana dapat mengerjakan terjemahan dan suntingan karya Frank Swettenham yang kita tahu memberi banyak sumbangan menerusi penghasilan karya-karya yang kemudian menjadi kajian dan rujukan sarjana-sarjana tempatan dan luar. Kedua sumbangan dalam bidang ketatanegaraan dan pentadbiran kerajaan atas penglibatannya sebagai seorang pentadbir kolonial di Tanah Melayu.

Norziati Rosman

Malay Sketches boleh menjadi buku penting untuk sesiapa yang mahu melihat bagaimana sifat dan sikap orang Melayu dari kaca mata orang luar yang banyak bergaul dengan masyarakat tempatan. Justeru, saya melakukan terjemahan dengan berhati-hati tetapi dengan penuh teliti kerana Swettenham banyak membuat gambaran secara terperinci atas apa yang cuba diceritakan, misalnya keadaan kampung, suasana hutan, keheningan laut dan sungai mahupun ketika menceritakan tentang susuk seseorang. Ini bermakna pemilihan perkataan yang betul dan tepat penting supaya tidak berlaku pengulangan dan pemerian yang tidak membosankan pembaca. Saya cuba meletakkan diri sebagai ‘orang luar’ yang melihat orang Melayu, bangsa saya sendiri, supaya terjemahan lebih objektif dan tidak melulu.

Ahmad Zamani: Kali pertama saya membaca Malay Sketches melalui teks asal yang telah didigitalkan.

Sebelum ini saya ada membaca naskhah-naskhah yang dihasilkan oleh para orientalis seperti Malay Magic (Skeat), Malay Poisons and Charm Cure (John D Gimllete), In Court and Kampung (Hugh Clifford), Life and Custom Malays (R J Wilkinson), dan beberapa buah naskhah yang lain.

Semuanya dalam bentuk digital daripada naskhah yang asal. Setelah saya menghabiskan bacaan Malay Sketches buat kali yang pertama, saya sudah mendapat suatu gambaran kasar tentang tema dan sub-sub tema yang ingin disampaikan oleh Swettehham.

Oleh sebab bahasa Inggeris yang digunakan olehnya menggunakan laras bahasa Inggeris klasik, saya membacanya buat kali kedua. Pada bacaan kali kedua ini, saya membuat beberapa catatan terutamanya pada perkataan-perkataan bahasa Inggeris yang tidak pernah saya temukan.

Dengan kata lain, naskhah ini juga sarat dengan kata arkaik. Saya akan mencari maksud dengan cara yang konvensional terlebih dahulu, iaitu merujuk kepada kamus, sama ada kamus yang berbentuk naskhah ataupun kamus yang terdapat secara dalam talian.

Sekiranya maksud yang ditemukan itu kelihatannya “tidak serasi” dengan maksud yang ingin disampaikan oleh penulisnya, saya akan berbincang dengan beberapa orang rakan penterjemah bagi mencari maksud yang tepat (setidak-tidaknya hampir tepat).

Secara peribadinya, naskhah yang ditulis oleh Swettenham ini tidaklah menggunakan laras bahasa Inggeris yang terlalu sukar jika dibandingkan dengan naskhah yang dihasilkan oleh R J Wilkinson.

Apakah bahagian yang susah sepanjang proses terjemahan? Cabaran dari segi bahasa Inggeris pada abad ke-19 berbanding sekarang, adakah sukar untuk membuat terjemahan bagi memastikan maksud terjemahan tidak lari daripada konteks asal?

Ahmad Zamani: Bahagian yang paling sukar ialah penggunaan laras bahasa Inggeris dan juga penggunaan kata-kata arkaik. Laras bahasa yang digunakan kebanyakannya panjang-panjang, mempunyai lebih daripada tiga predikat, dan kebanyakannya juga mempunyai lebih daripada satu subjek untuk satu ayat.

Norziati: Swettenham memulakan setiap bab dengan memasukkan petikan daripada karya penulis dan negarawan luar seperti Voltaire, Longfellow, Lewis Morris, Rudyard Kipling, Abdurrahman Jami’, Hamlet dan beberapa lagi nama besar. Setiap petikan, meskipun sebaris, mempunyai kaitan sedikit sebanyak dengan apa yang disampaikan dalam bab tersebut. Namun untuk menterjemah baris-baris petikan ini bukanlah satu tugas mudah kerana ia terpisah daripada rangkap asalnya dan boleh menyebabkan kefahaman kita lari daripada konteks asal jika teksnys tidak dibaca secara keseluruhan. Namun memandangkan petikan ini ialah ‘pemula’ kepada bab, saya cuma menterjemah dengan bersandarkan kepada cerita yang disampaikan dalam bab dan cuba mencari perkataan terbaik yang mampu memberikan maksud yang hampir dengan rangkap keseluruhannya.

Farhan Affandi

Cabaran kedua ialah kandungan Malay Sketches yang bersifat pemerihalan atau deskriptif iaitu Swettenham menceritakan dengan rinci dan teliti setiap apa yang cuba disampaikan. Oleh kerana segala peristiwa yang berlaku melibatkan Swettenham sendiri, atau dia sendiri ada pada ketika peristiwa itu berlaku, maka dia dapat melihat sendiri segala apa yang terjadi lalu mampu memerihalkan secara terperinci apa yang dilihatnya. Misalnya untuk menceritakan suasana tengah malam di sebuah kawasan pokok bakau yang berlumpur, Swettenham menceritakan keadaan lumpur yang kental dan melekit apabila air surut yang boleh menenggelamkan seseorang hingga ke paras pinggang. Begitu juga apabila Swettenham bercerita tentang keadaan gunung-ganang yang didaki, awan-gemawan yang memukau pandangannya, meneroka gua-gua bawah air, menunggang gajah untuk pergi berkelah, memanjat bukit-bukit batu kapur dan ketenangan laut yang sangat indah pada pandangannya – semua diceritakan seolah-olah mengajak kita ke sana. Semua perincian ini, sekali lagi ingin saya katakan, memerlukan pemilihan kata-kata yang betul dan tepat supaya tidak berlaku pengulangan dan pemerian yang boleh membosankan pembaca.

Bagaimana jangkaan penerimaan pembaca apabila ada mesej dalam buku itu mengkritik dan memberi tanggapan terhadap orang Melayu antaranya orang Melayu malas, percaya kepada perkara karut dan suka mengumpat?

Norziati: Swettenham memerihalkan pandangannya terhadap orang Melayu berdasarkan pergaulannya dengan orang Melayu dan pengamatannya yang tajam terhadap mereka yang dikenali dan yang dekat dengannya. Adalah mustahil untuk kita mengatakan yang Swettenham mengada-adakan cerita-cerita ini kerana segala peristiwa yang berlaku melibatkan Swettenham sendiri, atau dia sendiri ada pada ketika peristiwa itu berlaku, maka dia dapat melihat sendiri segala apa yang terjadi. Mungkin dia terlalu jujur dan objektif kerana menceritakan segala-galanya tanpa terselindung.

Kita boleh mengambil contoh apa yang terjadi kepada Abdullah Munshi selepas dia menulis Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan yang turut mengandungi kritikan terhadap orang Melayu berdasarkan apa yang dilihatnya sepanjang perjalanan dan pergaulan dengan orang Melayu. Abdullah turut dikecam kerana terlalu jujur bercerita namun semua itu adalah kejadian yang berlaku di hadapan matanya.

Pembaca boleh menerima atau menolak pandangan Swettenham seperti mana mereka menolak tulisan Abdullah Munshi, tetapi akhirnya rakaman itu menjadi rujukan penting terhadap keadaan sosiobudaya orang Melayu pada waktu itu. Apa yang boleh kita buat ialah menerima catatan ini dengan berlapang dada tetapi harus lebih kritis terhadap kesimpulan yang dibuat Swettenham terhadap orang Melayu seperti malas dan suka mengumpat kerana tidak semua bersikap demikian – yang ditemukan oleh Swettenham pada ketika itu mungkin sekelompok kecil yang mempunyai sifat-sifat sedemikian.

Apakah tujuan penerbitan karya bekas penjajah yang memaparkan keburukan Melayu, adakah wajar atau tidak disiarkan dan apa mesej hendak ditampilkan?

Norziati: Penulisan seperti ini cuba bersikap jujur dengan menceritakan apa yang mereka perhatikan. Mereka juga cuba menampilkan realiti dan keadaan sebenar orang Melayu dari luar. Ia satu pandangan jujur, bukan mahu merendahkan tetapi merakam keadaan sosiobudaya masyarakat pada masa itu. Kita boleh meragui niat mereka, malah kita juga boleh mengatakan yang mereka sengaja mahu menceritakan perkara-perkara buruk tentang kita. Atas sebab ini, kita haruslah lebih kritis – jika kita tidak setuju, perlulah dinyatakan mengapa dengan memberi pandangan balas yang lebih membina. Tulisan Syed Hussein Alatas yang berjudul The Myth of Lazy Natives boleh dijadikan panduan bagaimana kita boleh menolak dan membalas pandangan mereka jika kita yakin salah. Seharusnya karya ini sekiranya diterbitkan dan diterjemahkan, menjadi pemangkin semangat kepada orang Melayu untuk berusaha lebih gigih bagi menyangkal dakwaan dan pandangan sendeng yang tersebut.

Apakah kekuatan dan kelebihan orang Melayu yang ditampilkan dalam karya Frank Swettenham itu?

Norziati: Seperti yang dicatat oleh Swettenham, orang Melayu mudah mesra dan peramah. Jika mereka dihormati, maka orang Melayu akan taat dan setia, suatu sikap yang menyebabkan mereka akhirnya sering dipergunakan. Orang Melayu juga mempunyai sikap yang baik, tenang, sopan santun tetapi cukup berhati-hati khususnya kepada orang luar. Namun orang Melayu juga pemboros, suka berhutang, pandai menyulam kata-kata yang manis dan pandai berbicara. Mereka juga pandai berjenaka, mungkin itu menyebabkan orang Melayu cepat mesra. Oleh kerana orang Melayu gemar berjudi misalnya dengan menyabung ayam, maka mereka mudah berhutang. Menurut Swettenham lagi, orang Melayu pemalas, namun mereka cepat belajar dan boleh dituntun untuk menjadi pekerja atau pengikut yang patuh dan taat.

Selepas membuat terjemahan, bagaimana pandangan penerbit dan penterjemah terhadap penulis, bagaimana melihat usahanya mempelajari bahasa Melayu dan pengenalan keretapi sebagai sistem pengangkutan?

Norziati: Bahasa Melayu kepada pentadbir kolonial di Tanah Melayu adalah satu keperluan untuk memudahkan mereka berinteraksi dengan orang awam. Swettenham sendiri mengaku bahawa adalah penting untuk memahami bahasa tempatan kerana memudahkan mereka mendekatkan diri dengan masyarakat dan memahami adat resam serta pantang larang orang Melayu dengan lebih baik. Perbezaan ini dapat dilihat apabila JWW Birch yang masih menggunakan khidmat jurubahasa (intrepreter) sewaktu dilantik menjadi penasihat sultan. Mungkin itu menjadi antara penyebab Birch tidak digemari oleh pembesar tempatan kerana gagal memahami dengan baik kehendak orang Melayu.

Hasilnya, Swettenham berjaya di pelbagai tempat dan keadaan dengan memikul pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatannya bersama kerajaan British. Atas sebab kefasihannya, Swettenham dapat mempengaruhi pembesar untuk membina landasan keretapi yang menyambungkan kawasan perlombongan dengan pelabuhan untuk memudahkan kegiatan pelombongan bijih timah.

Mengapakah semua perlu mendapatkan terjemahan karya Frank Swettenham ini?

Farhan: Banyak aspek yang boleh dilihat. Selain unsur sejarah dan sosiobudaya, rakaman tentang sikap orang Melayu dan kegiatan masa lapang mereka, kita juga boleh mengetahui pandangan orang luar terhadap sikap latah dan amuk yang terdapat hanya pada orang Melayu. Begitu juga dengan keindahan laut dan sungai, gunung-ganang dan bukit bukau, air terjun dan gua, tasik dan pantai serta hutan tebal yang diteroka sendiri oleh Swettenham.

Berkenaan latah, Swettenham menceritakan dengan jelas mengapa ia terjadi dan melihat sifat orang yang latah pada ketika ia tidak latah, apa yang terjadi ketika latah dan bahaya yang berlaku apabila diusik hingga latah. Malah Swettenham dapat mengeluarkan hipotesis sendiri yang latah ialah satu kebiasaan bagi penduduk Ambon berbanding penduduk di Jawa, Sumatera atau di Semenanjung. Dua orang Ambon yang latah yang berkhidmat bersama-sama Swettenham menjadi saksi dan bukti yang kuat bahawa latah ialah dari kalangan penduduk Ambon.

Selain memberi manfaat pengetahuan tentang suasana zaman lampau, buku ini juga mampu menghiburkan pembaca dengan kisah-kisah menarik yang disampaikan dengan gaya yang hidup.

Apakah mesej dan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?

Norziati: Karya ini melibatkan pandangan jujur orang luar terhadap orang Melayu. Kita boleh bersikap kritis sama ada mahu menerima atau menolak misalnya dengan membuat satu kajian bandingan dengan Hikayat Abdullah (misalnya). Ia satu garapan penting yang perlu dibaca oleh orang Melayu. Kita boleh meneliti apakah sikap orang Melayu dahulu dan sekarang masih sama dan apakah perubahan yang telah terjadi kepada orang Melayu hingga mereka meninggalkan sikap yang tidak perlu.


Pengarang :