Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 16 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar: Jangan ikut perangai si Kitol, mudah dikaburi pangkat, harta

SHAH ALAM, 16 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujudnya penghianat dalam parti setelah dikaburi dengan tawaran pangkat dan harta.

Justeru, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menuntut semua ahli pimpinan mengambil iktibar supaya tidak terikut dengan sikap bekas pemimpin berkenaan.

Beliau sebaliknya menyeru semua anggota untuk terus mengukuhkan kekuatan, kesabaran dan sikap kasih sayang bagi meneruskan perjuangan.

“Kita bersidang (Kongres Nasional ke-16) untuk kukuhkan kekuatan parti. Memang betul wujud kisah si Kitol dan Raja Mendeliar. Dahulu ada reformis yang bersama-sama dengan kita tetapi bila diberi kuasa dan harta, kilauannya mengaburi mata mereka.

“Jangan terikut kerana ia menghakis idealisme dan berlaku pengkhianatan. Parti tidak boleh ditegak dengan kebencian. Sebagai presiden saya akan pastikan saf utuh, bersatu dan kekal inklusif kekalkan parti,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di sini hari ini.

Anwar berkata KEADILAN memerlukan idea segar dan nafas baharu untuk parti terus kekal relevan.

“Kita menerima cabaran baharu dan perlu mencari pendekatan sesuai. Pimpinan dan penggerak juga harus pastikan wadah ini kekal kukuh,” katanya.

Beliau turut mengingatkan barisan kepimpinan baharu supaya tidak meminggirkan calon yang tewas pada pemilihan baru-baru ini sebaliknya kekal sebagai satu pasukan.

“Bila ada pemilihan pasti ada persaingan. Kita guna slogan ‘Lawan Tetap Lawan’ tetapi bukan dengan kawan.

“Kalau itu semangat kita, kena kekalkan dengan landasan yang dirangka.kita tak boleh nafikan sumbangan rakan yang tewas pemilihan. Mereka akan terus beri sumbangan pada parti dan perjuangan,” katanya.


Pengarang :