Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah sempena Karnival Jualan Ehsan di Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan asas bantu rakyat susah sambut Aidiladha

KUALA LANGAT, 6 JULAI: Inisiatif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan Karnival Jualan Ehsan menjelang Aidiladha tepat pada masanya tatkala ramai rakyat terbeban dengan kenaikan harga barangan di pasaran.

Pesara kerajaan, Hussaini Marsan, 79, berkata jualan barangan asas pada harga murah itu seharusnya dicontohi kerajaan pusat bagi mengelak rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) terus dihimpit kesengsaraan.

Hussaini Marsan, 74

Bapa lima anak yang menetap di Kampung Medan, Telok Panglima Garang di sini mengakui produk dibawakan PKPS bukan sahaja berpatutan, malah bermutu tinggi jika dibandingkan di pasar mahupun kedai runcit.

“Sekarang rakyat sangat terkesan sebab semua barang naik harga. Bagi saya yang mempunyai wang pencen bulanan mungkin kurang terjejas, tetapi bagaimana dengan rakyat lain yang gaji rendah dan memiliki ramai anak?.

“Usaha PKPS dan Kerajaan Selangor memang patut dipuji dan saya berasakan perkara sama perlu dibuat di peringkat kerajaan persekutuan. Bayangkan saya boleh jimat lebih RM100 dengan membeli tiga papan telur, dua ekor ayam dan dua kilogram(kg) daging,” katanya ditemui di Taman Perwira, Sijangkang di sini semalam.

Sementara itu, Suzila Panut, 47, tidak menyangka harga barangan ditawarkan melalui inisiatif tersebut sangat murah sekali gus melegakan penduduk khususnya yang kurang berkemampuan.

“Walaupun saya seorang guru, tetapi jualan murah seperti ini amat dinantikan memandangkan harga barangan semakin mahal, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Haji.

Ong Siew Khoon, 44

“Hari ini saya hanya membelanjakan RM70 untuk beli bekalan seperti ayam, telur dan sayur-sayuran. Jika sebelum ini saya kerap beli di kedai Acheh dan kosnya lebih RM100,” katanya.

Bagi Ong Siew Khoon, 44, pula berharap PKPS mengadakan inisiatif berkenaan dengan lebih kerap bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barangan di pasaran terhadap rakyat.

“Kalau kerajaan tidak mahu turunkan harga (barangan asas), PKPS boleh buat jualan murah seperti ini sekurang-kurangnya sebulan sekali,” katanya ibu tiga anak yang tinggal di Taman 10, Telok Panglima Garang.

Seorang lagi pengunjung, M Vasanti, 47, mahu program sama dibuat di situ pada masa akan datang dengan membawa barangan dalam kuantiti yang lebih banyak bagi menampung permintaan ramai.

“Saya hanya sempat beli dua paket minyak masak, barang lain tidak sempat. Jadi saya harap boleh buat lagi sebab semua barang murah-murah, sesuai untuk orang susah seperti saya,” katanya.


Pengarang :