M Nasir (dua, kanan) dan Zoul (dua, kiri) bergambar bersama anggota Kembara atas bumbung Central Market Kuala Lumpur. Foto Facebook M.Nasir
AGENDANASIONAL

Kembara saji lagu lebih 30 tahun belum pernah dimainkan dalam konsert 31 Julai

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kumpulan ikonik era 1980-an, Kembara akan membawa lagu-lagu yang belum pernah didendangkan dalam Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 31 Julai ini.

Gitarisnya, Zoul berkata hasil semakan, mereka menemui beberapa buah lagu yang dirakam lebih 30 tahun yang belum pernah diperdengarkan kepada peminat, lapor Berita Harian.

“Kami sudah memulakan persiapan sejak dua bulan. Banyak lagu yang akan dimainkan khusus untuk peminat setia.

“Tak disangka apabila Kembara semak semula, kita ada lagu berusia 30 tahun yang belum diketengahkan,” katanya yang mengakui tidak sabar beraksi dihadapan peminat.

Sebelum ini, vokalis dan pengasas kumpulan ini Datuk M Nasir menganggap konsert berkenaan sesuai dengan gelombang pemikiran masa kini.

“Kembara yang kumpulan ini lahir di zaman Dayabumi didirikan dan gelombang kerakyatan serta politik pada waktu itu,” katanya seperti dilapor pada 3 Julai.

“Kita lahir pada era itu, jadi bagi kita sesuai untuk kembalikan nostalgia itu dan mungkin ada persamaan dengan gelombang pemikiran orang pada masa kini.”

Selepas lapan tahun tidak beraksi, Kembara kembali bergabung untuk mengubati rindu peminatnya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 31 Julai.

Popular dengan lagu Ekspres Rakyat, Hati Emas, Kepadamu Kekasih, Gerhana, Keroncong Untuk Ana dan Duit, konsert terakhir kumpulan ini pada 2014 di Istana Budaya.

Selain Zoul dan M Nasir, konsert yang dibawa Shiraz Projects Sdn Bhd turut disertai Rahman Suri (bes), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard).

Tiket yang berharga antara RM860 hingga RM160 boleh dibeli di www.myticket.asia. Peminat juga boleh mendapatkan kemeja T eksklusif Kembara apabila membeli tiket.


Pengarang :