Orang ramai memeriksa mata pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan kesihatan percuma di Petaling sempena jelajah bantuan rakyat

GOMBAK, 11 JULAI:  Program saringan kesihatan percuma yang ditangguhkan untuk sambutan Aidiladha diteruskan semula pada hujung minggu depan di Petaling.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Selangor Saring itu menemui rakyat  sempena Jelajah Selangor Penyayang yang berlangsung di daerah tersebut.

“Selangor Saring di bawah kelolaan Selgate dan saya perlu semak balik jika ada tarikh terdekat. Tetapi minggu hadapan pasti ada di Petaling sempena siri jelajah anjuran Kerajaan Negeri.

“Minggu ini tidak dapat diadakan kerana musim perayaan Aidiladha dan dihentikan sementara untuk beri laluan kepada aktiviti masyarakat,” katanya ketika ditemui pada program Qurban Perdana di Sungai Tua di sini, hari ini.

Program Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat dijadualkan semula di Petaling pada 24 Julai.

Bermula 8 pagi hingga 5.30 petang, program yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) berlangsung di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Bulan lalu, acara sama berlangsung di Taman Kosas, Ampang Jaya dan Dataran Pantai Morib, Kuala Langat dengan kedua-duanya mendapat sambutan menggalakkan.

Program berkenaan bakal berakhir di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai.


Pengarang :