Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Stadium baharu ambil inspirasi kelab Ajax Amsterdam, ‘lebih baik dari Anfield’

SHAH ALAM, 15 JULAI: Dato’ Menteri Besar membayangkan rancangan menaik taraf  Stadium Shah Alam mungkin mengambil inspirasi stadium kelab bola sepak Belanda terkenal Ajax Amsterdam.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan projek melibatkan ikon negeri tersebut bukan sahaja untuk kegiatan sukan tetapi turut membantu merancakkan sektor ekonomi.

“Sebenarnya tidak banyak stadium yang saya lawati tetapi pernah ambil peluang ke stadium yang ada tradisi. Agak menarik pada pandangan saya ialah stadium milik kelab bola sepak itu (Ajax Amsterdam).

Johan Cruijff Arena, stadium rasmi Kelab Ajax Amsterdam

“Stadium itu menerima kunjungan 100,000 orang setiap tahun, bukan untuk saksikan perlawanan bola sepak semata-mata tetapi ada kegiatan lain,” katanya dalam sidang media petang ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan surat niat (LOI) Kerajaan Negeri kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk membangunkan semula stadium itu.

Ditanya sama ada stadium tersebut lebih baik daripada kemudahan milik Johor Darul Takzim (JDT), Amirudin yang meminati Liverpool FC secara seloroh berkata: “Lebih baik daripada Anfield.”

Beliau juga menambah pembinaan stadium baharu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk penempatan 500 penjaja di kawasan sekitar.

“Kita akan pastikan mereka tidak hilang kawasan berniaga, malah ditempatkan di lokasi strategik berdekatan transit aliran ringan (LRT),” katanya.

Pembangunan semula Stadium Shah Alam dijalankan seawal tahun depan dan dijadual siap sepenuh pada 2026.

  • KLIK untuk rakaman penuh

Pengarang :