Ahli Pusat Wanita Berdaya turut serta pada program Jelajah Selangor Penyayang di pekarangan Stadium Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wujud kelab di setiap DUN perkasa ibu tunggal, pastikan tiada tercicir

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kelab ibu tunggal akan ditubuhkan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan permulaan RM1,500 bagi memulakan aktiviti asas, mengumpul data dan membina jaringan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang diumumkan dalam Jelajah Selangor Penyayang minggu lalu untuk memastikan tiada ibu tunggal di negeri ini yang tercicir.

Beliau menjelaskan permohonan juga terbuka kepada persatuan ibu tunggal bagi menjalankan program sendiri yang boleh dimohon mulai 1 September hingga 30 Oktober depan.

“Ketika Jelajah Selangor Penyayang minggu lepas, inisiatif membantu para ibu tunggal ditambah dengan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Wanita Berdaya Selangor (WBS).

“Geran ini bertujuan membina kapasiti kumpulan ini supaya lebih teguh mengharungi ekonomi dan kehidupan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Pada 24 Julai, ketua pegawai eksekutif WBS berkata penubuhan kelab itu sejajar hasrat Kerajaan Negeri yang mahu memperkasa golongan berkenaan menerusi program pembangunan.

Menurut Siti Kamariah Ahmad Subki, pendekatan itu diambil berikutan data ibu tunggal sering berubah kerana ada yang berkahwin semula selain kes penceraian berlaku setiap hari.


Pengarang :