Kakitangan Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) menunjukkan dokumen ikrar yang telah ditandatangani sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris, Shah Alam pada 25 Ogos 2022. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (depan, kanan). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

85 kakitangan Media Selangor lafaz Ikrar Bebas Rasuah

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai 85 kakitangan Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) hari ini melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha membanteras sikap tidak bermoral sekali gus menjamin integriti.

Bertempat di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), bacaan ikrar diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MSSB Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Majlis disaksikan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Ridzuan Abd Malik dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Norita Mohd Sidek.

Mohamed Fareed ketika berucap memaklumkan ikrar tersebut merupakan inisiatif strategik syarikat untuk memupuk kesedaran dan memberi pendidikan dalam menangani rasuah.

“Ikrar dan janji oleh kepimpinan organisasi dan seluruh warganya agar lebih bertanggungjawab, meningkatkan integriti dan mengamalkan tadbir urus korporat yang baik sepanjang menjalankan tugas.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree mengetuai bacaan ikrar ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris, Shah Alam pada 25 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Media Selangor menyambut baik dan menyokong sepenuhnya usaha serta ikhtiar ini. Ini sebahagian jihad kita bersama untuk membersihkan negara ini daripada amalan rasuah,” katanya.

Mohamed Fareed menambah pengurusan syarikat media milik Kerajaan Negeri itu juga dalam proses menubuhkan unit khas integriti bagi menyokong usaha menolak jenayah tersebut.

“Kita juga menyediakan laporan Integriti dan Governans setiap tahun, bekerjasama rapat dengan MBI untuk menyertai latihan serta program pengukuhan dalam operasi harian syarikat,” katanya lagi.

IBR diperkenal SPRM pada 2018 sebagai usaha meningkatkan kesedaran membanteras rasuah dalam kalangan masyarakat dan organisasi.

Kakitangan Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) membaca ikrar ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris, Shah Alam pada 25 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 


Pengarang :