Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kanan) menunjukkan dokumen Ikrar Bebas Rasuah ketika majlis ikrar syarikat berkenaan di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris, Shah Alam pada 25 Ogos 2022. Turut bersama Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Selangor Ridzuan Abd Malik (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Usaha banteras jenayah rasuah perlu kerjasama semua kakitangan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Usaha membanteras jenayah rasuah tidak seharusnya dibebankan kepada pengurusan syarikat semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama semua kakitangan.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Ridzuan Abd Malik berkata setiap kakitangan juga perlu memastikan integriti terjamin dengan menolak sebarang unsur jenayah termasuk membuat tuntutan palsu.

“Amalkan tadbir urus yang baik dan bebas daripada amalan rasuah, tanggungjawab ini bukan semata-mata MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau bahagian pengurusan tetapi melibatkan semua.

“Sebolehnya, kita katakan tidak pada rasuah dan terlibat dalam sebarang bentuk jenayah berkaitannya contohnya seperti tuntutan palsu perjalanan dan kerja lebih masa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ikrar Bebas Rasuah kakitangan Media Selangor Sdn Bhd di sini, hari ini.

Bertempat di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), seramai 85 kakitangan Media Selangor yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree melafaz ikrar tersebut.

Majlis itu turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Kakitangan Media Selangor Sdn Bhd membaca ikrar ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah syarikat berkenaan di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris, Shah Alam pada 25 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :