Pengunjung menjalani pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

9,969 sertai saringan kesihatan, DUN Sungai Tua dan Gombak Setia peserta teramai

SHAH ALAM, 4 OGOS: Program saringan kesihatan percuma, Selangor Saring merekodkan seramai 9,969 peserta sejak mula dijalankan di Ijok, Kuala Selangor Mei lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata peserta teramai direkodkan menerusi program tersebut ialah pada siri Jelajah Selangor Penyayang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan Gombak Setia baru-baru ini melibatkan 995 orang.

“Tahniah kepada semua peserta. Menjalani Selangor Saring bermaksud berusaha mengesan awal penyakit jantung, buah pinggang, kanser dan lain-lain supaya dapat diberi rawatan awal.

“Kerajaan Negeri memberikan saringan kesihatan percuma sebagai usaha pencegahan dan proaktif,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Program Selangor Saring untuk warga Sungai Tua dan Gombak Setia diadakan pada 31 Julai lalu bertempat di Padang Awam Batu Caves.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program itu yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui http://selangorsaring.selangkah.my atau hubungi talian Selcare 1-800-22-6600.


Pengarang :