Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Konvensyen Pilihanraya KEADILAN 2022 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 27 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: KEADILAN sedia hadapi PRU15 seawal Oktober

SHAH ALAM, 27 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun diadakan seawal Oktober depan.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata KEADILAN tidak berdepan masalah atau gentar berhadapan PRU kerana parti itu sudah membuat persiapan awal.

“Gerak kerja dah siap sedia hingga akhir September dan Oktober itu kita dah siap sedia untuk PRU.

“Belanjawan dijangka 7 Oktober tetapi kita tahu mereka mungkin boleh adakan atau tidak kerana (Perdana Menteri Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) ini terlalu lemah kerana terpaksa berdepan tekanan dari Umno, dia tak berani nak putuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Pilihanraya KEADILAN 2022 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Desas desus PRU-15 akan diadakan pada tahun ini timbul selepas Belanjawan 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober iaitu diawalkan tiga minggu berbanding jadual asal.

Perubahan tarikh itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, semalam.

Bagaimanapun, beliau menafikan pertukaran tarikh baharu itu ada kaitan dengan pilihan raya umum akan datang.


Pengarang :