Kemeriahan kibaran Jalur Gemilang dapat disaksikan ketika dibawa oleh kontinjen perbarisan pada sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 28 Ogos 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hari Kebangsaan: Selepas 65 tahun, rakyat Malaysia masih teguh bersama

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Esok tanggal 31 Ogos, bermakna 65 tahun sudah masyarakat berbilang kaum di negara ini mengecapi nikmat kemerdekaan dan kesejahteraan hidup berteraskan ikatan perpaduan yang dipupuk berdekad lamanya.

Pastinya, bukanlah sesuatu yang mudah untuk memastikan suasana demikian kekal utuh tanpa diganggu-gugat.

Tidak kiralah daripada sekecil-kecil perkara sehingga ada yang menjadi polemik, sama ada cabang politik, ekonomi, kesihatan, sosial mahupun cabaran media sosial, semuanya dilihat berpotensi ‘meruntuhkan’ benteng perpaduan ini, sekiranya tidak dikawal dan dipantau.

Apatah lagi, tempoh dua tahun lepas ketika negara bergelut dengan wabak Covid-19 yang membuatkan kerajaan terpaksa melaksanakan pelbagai langkah termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sesungguhnya ancaman Pandemik Covid-19 yang masih ketara sehingga ini memberi impak besar terhadap ekonomi dan Malaysia tidak terkecuali.

Namun begitu, jiwa kental rakyat berbilang kaum Malaysia ternyata gah menggalas cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam sebuah “Keluarga Malaysia” dan tentunya sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat besar maknanya buat semua.

Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang Jalur Gemilang sekitar Dataran Shah Alam sempena sambuntan Hari Kebangsaan pada 19 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Perpaduan teruji

Menurut Dr Suffian Mansor, Pengerusi Pusat Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, Universiti Kebangsaan Malaysia, walaupun negara berhadapan keadaan sukar, namun seluruh masyarakat begitu matang dan tidak mudah melatah dengan situasi semasa.

Beliau berkata, ini terbukti ketika negara dan seluruh dunia berhadapan dengan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 yang menyaksikan krisis kesihatan amat dahsyat sehingga meragut jutaan nyawa.

“Keadaan ini seakan menguji masyarakat negara ini apabila kerajaan terpaksa melaksanakan PKP iaitu mengehadkan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 sebagai usaha menyelamatkan nyawa.

“Pelaksanaan langkah ini memberi kesan besar kepada ekonomi negara kerana banyak industri ditutup selain ramai juga yang kehilangan pekerjaan akibat daripada itu,’’ katanya kepada Bernama.

Beliau menambah, situasi berkenaan menjadi lebih parah dengan krisis politik Malaysia apabila negara mempunyai tiga perdana menteri dalam tempoh satu penggal sekali gus mencipta sejarah kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Malah, kata beliau, cabaran dihadapi Malaysia tidak sekadar itu sahaja apabila negara turut berhadapan polemik peningkatan harga kos makanan serta bekalan bahan makanan yang agak terjejas kesan daripada krisis sekuriti makanan global, sejak setahun lalu.

Berikutan situasi itu, Suffian berkata, masyarakat dilihat lebih memikirkan bagaimana untuk menjaga keperluan dan kebajikan mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup berbanding perkara lain yang dianggap kurang penting.

Menurut beliau, masyarakat daripada pelbagai latar belakang, kaum dan kelas pendapatan turut melihat kepada usaha dan dasar kerajaan dalam membantu mereka berhadapan dengan cabaran isu semasa.

“Contohnya dalam soal kenaikan harga ayam yang sering kali menjadi isu, masyarakat tidak kiralah kumpulan T20, M40 atau B40 mereka mahu satu penyelesaian terbaik daripada kerajaan dan saya kira apabila ada penetapan harga kawalan ayam, ia secara tidak langsung meredakan emosi rakyat.

“Ini juga termasuklah beberapa inisiatif lain yang dilaksanakan kerajaan termasuk bantuan kewangan dan subsidi bagi membantu masyarakat menghadapi situasi agak mencabar kebelakangan ini,’’ katanya.

Rasional bukan emosi

Mengulas lanjut, Suffian berkata, meskipun rakyat Malaysia berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran, namun mereka masih teguh menjaga hubungan harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang disifatkan sebagai senjata serta kunci utama keamanan negara.

Warga Perak, Tazar Alang Ibrahim, 62, bergambar di replika kereta kebal yang dihiasi Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos ini ketika ditemui di Jalan Tasek baru-baru ini. Foto BERNAMA

Situasi berkenaan, kata beliau, turut membuktikan bahawa kepentingan negara lebih diutamakan melangkaui kepentingan individu.

‘’Perkara ini terserlah dengan jelas contohnya apabila ada pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan atau apabila ada dasar kerajaan yang kurang dipersetujui.

“Masyarakat tidak membuat bantahan atau berdemonstrasi yang sudah tentunya boleh menimbulkan kacau-bilau serta huru-hara. Bagi saya ini menunjukkan rakyat kita masih rasional dan tidak menggunakan emosi melampau kerana bagi mereka keharmonian dan perpaduan itu lebih penting dan harus dijaga,” katanya.

Keadaan itu ternyata berbeza di negara lain yang ada ketika melibatkan demonstrasi besar-besaran sekiranya rakyat negara berkenaan tidak berpuas hati dengan dasar dan cara pentadbiran kerajaan mereka.

Biarpun demikian, Suffian berkata kerajaan Malaysia tidak boleh berpeluk tubuh walaupun masyarakatnya amat matang berdepan dengan cabaran semasa dan kerana itu usaha berterusan perlu dilakukan bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat negara ini.

Beliau menambah, penghayatan dan erti kemerdekaan perlu diterjemahkan sebaik mungkin menerusi pengisian program sambutan Hari Kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Usaha ini perlu berterusan supaya kesannya dapat dilihat pada masa hadapan dan masyarakat juga perlu diingatkan akan peranan mereka, misalnya bagaimana boleh membantu memajukan negara, apa yang boleh disumbangkan untuk mempertahankan kestabilan dan keamanan negara.

“Masyarakat harus sedar tidak semuanya boleh bergantung pada usaha kerajaan semata-mata memandangkan sumber yang terhad,’’ tambahnya.

Terjemah kasih

Sementara itu, pakar psikologi kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (uniMAP) Prof Dr Huzili Hussin menyifatkan masyarakat di Malaysia masih mengekalkan semangat kesatuan dan kebersamaan.

Semangat berkenaan jelas dilihat apabila berlaku sesuatu insiden yang memerlukan mereka membuat sumbangan dan dengan mudah menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit, kaum mahupun agama.

“Contoh apabila berlaku banjir, tidak kira sama ada individu atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan), mereka akan turun ke lokasi banjir dan beri bantuan tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun ideologi politik.

“Keadaan ini turut dibuktikan ketika PKP apabila ada sahaja pihak termasuk NGO dan persatuan berkaitan yang menghulurkan bantuan makanan serta barangan keperluan harian kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.

Menurut beliau lagi, meskipun ada kalangan masyarakat tidak menzahirkan semangat patriotisme dan cintakan negara menerusi ucapan dan perbuatan, ia tidak bermakna mereka tidak cintakan negara.

“Sekiranya kita lihat negara lain seperti US (Amerika Syarikat), Indonesia, Thailand, China dan Jepun, mereka ada budaya tersendiri menterjemahkan semangat kecintaan kepada negara.

“Sebaliknya di Malaysia, masyarakat kita sukar untuk meluahkan rasa sayang dan kecintaan terhadap negara termasuklah dalam situasi mengibarkan bendera, namun itu bukan bermakna mereka tidak sayang…sekiranya ditanya (sayang atau tidak pada negara) pasti jawapan ya (sayang pada negara),” katanya.

Bagaimanapun, rasa kasih dan sayang pada negara itu dizahirkan melalui pelbagai cara dan ini termasuklah hormat-menghormati sesama kaum dan sebagainya.

Keluarga Malaysia teguh bersama, pendekatan terbaik

Mengulas tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, Huzili menyifatkan tema itu tepat dalam menggambarkan kebersamaan masyarakat majmuk negara ini yang hidup dengan aman dan bersatu padu.

Beliau berkata, ia juga selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Apabila bercakap mengenai keluarga, kita menggambarkan konsep itu sebagai satu pertalian yang rapat, ada kesepakatan dan kesatuan di dalamnya.

“Apabila ada hal yang membawa kepada pertelagahan, kita masih boleh duduk berbincang dan menyelesaikan masalah sebagai adik-beradik dalam satu keluarga. Begitu juga halnya apabila kita berbeza dalam soal tertentu, kita masih lagi boleh mengekalkan keutuhan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,’’ katanya.

Huzili berkata menerusi tema itu, masyarakat negara ini diseru supaya terus bersatu meraikan perbezaan dan kepelbagaian demi mengekalkan kemerdekaan negara.

– BERNAMA


Pengarang :