Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat berkenaan fasiliti syarikat Industri Aeroangkasa Turki ketika lawatannya ke negara itu, baru-baru ini. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor lebar kerjasama dengan Turki, perhebat industri aeroangkasa

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Selangor yakin ruang kolaborasi bersama Industri Aeroangkasa Turki (TAI) lebih besar susulan beberapa perkembangan bersama syarikat berkenaan.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya juga tekad melihat keperluan termasuk prospek pelaburan yang perlu dipermudah bagi membolehkan kerjasama dengan TAI lebih konsisten.

“TAI yang membuka operasi di Cyberjaya, dikenal pasti sebagai salah satu pelabur berpotensi di Taman Aero Antarabangsa Selangor, salah satu pemacu perubahan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Penyertaan mereka melalui Pameran Udara Selangor 2021 yang julung kali diadakan menyaksikan ruang kolaborasi lebih besar diterokai kedua belah pihak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Dalam lawatannya ke negara terbabit, beliau turut dibawa melawat fasiliti aeroangkasa TAI dan menyaksikan sendiri kewibawaan syarikat itu selaku pemain utama industri aeroangkasa dunia.

Kunjungan itu juga susulan lawatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke syarikat berkenaan baru-baru ini.

Pembangunan hab aeroangkasa sebahagian daripada intipati teras satu RS-1 yang dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 27 Julai lalu.

Bermula tahun lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan pameran udara di Subang bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Edisi kedua penganjuran acara itu dijadual berlangsung selama tiga hari mulai 8 September ini dengan sasaran potensi nilai transaksi RM700 juta.


Pengarang :