Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Ng Suee Lim menyampaikan bantuan khas banjir kepada wakil penduduk di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 13 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: Bersih longkang tersumbat, naik taraf ban elak banjir

SABAK BERNAM, 14 SEPT:  Pihak konsesi Lebuhraya Persisir Pantai Barat (WCE) diminta membersihkan longkang yang dipercayai menjadi punca banjir di beberapa kawasan berhampiran.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Ng Suee Lim berkata jalan raya di sepanjang laluan tersebut masih berada di bawah tanggungjawab WCE sehingga tahun hadapan.

“Kita minta mereka bersihkan semua longkang kiri dan kanan jalan untuk elak dari tersumbat dan kini mereka sedang berusaha membersihkannya.

“Selain itu, ban-ban pecah akan dinaiktaraf dan dibaiki Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam tempoh terdekat membabitkan kos RM100,000,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan khas bencana banjir di Dewan Seri Sekinchan, di sini.

Beliau berkata kerja pembersihan longkang dan menaik taraf ban antara usaha mengelak banjir susulan ramalan hujan lebat yang diramal melanda pada hujung tahun ini.

Terdahulu, seramai 515 mangsa banjir yang melanda Sekinchan pada Mei lalu masing-masing menerima bantuan sebanyak RM300.

Banjir berlaku susulan hujan lebat antara 11 pagi hingga 2 petang ditambah fenomena air pasang besar sehingga rumah mangsa dinaiki air hampir setengah meter.

 


Pengarang :