Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman berucap sempena pelancaran buku mewah (coffee table book) agensi tersebut di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya pada 13 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air Selangor: Rizab air meningkat 13 peratus takat tahun lepas

PETALING JAYA, 14 SEPT: Rizab margin air berjaya dinaikkan kepada lebih 13 peratus tahun lepas berbanding tiga peratus yang dicatatkan pada 2015, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman berkata peningkatan tersebut seiring pelan 30 tahun syarikat untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.

“Pencapaian ini juga disebabkan pembangunan tiga loji rawatan air (LRA) sepanjang lima tahun tahun ini iaitu LRA Semenyih 2, LRA Labohan Dagang dan LRA Langat 2,” katanya.

Beliau berucap sempena majlis pelancaran buku mewah (coffee table book) Air Selangor di pusat beli-belah One Utama, di sini yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Suhaimi berkata sehingga hujung tahun lepas, Air Selangor menggantikan 556 kilometer (km) jajaran paip manakala baki 260 km sedang dilaksana bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih dan selamat.

“Ini hasil penganugerahan lebih RM4 billion dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara kepada kami sebagai pemegang tunggal penyedia perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dalam masa sama, 53 kolam takungan air dan rumah pam dinaik taraf sementara 11 lagi sedang dibaik pulih. Kadar purata air tidak berhasil (NRW) juga pada tahap 28 peratus tahun lalu berbanding 32.2 peratus pada 2016,” katanya.

Selain LRA Semenyih 2, LRS Labohan Dagang dan LRA Langat 2, usaha meningkatkan rizab air turut dilaksanakan menerusi pembinaan LRA Sungai Rasau yang dijangka siap pada 2025.

 


Pengarang :