EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (dua, kanan) bersama barisan panel penilai Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat Dan Sihat Peringkat Kebangsaan diberi penerangan berkenaan Medan Selera Batu Laut ketika lawatan mereka ke premis berkenaan di Kuala Langat pada 6 Ogos 2022. Foto Facebook PKM DUN Tanjong Sepat
EXCOSELANGOR

EXCO: Medan Selera Batu Laut wakili Selangor ke anugerah peringkat kebangsaan

SHAH ALAM, 7 SEPT: Medan Selera Batu Laut di Kuala Langat terpilih mewakili Selangor dalam Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat Dan Sihat Peringkat Kebangsaan tahun ini, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata premis bawah kendalian Majlis Perbandaran Kuala Langat itu antara lima medan selera dari seluruh Malaysia yang dinilai selain di Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.

“Medan Selera Batu Laut pernah dinobat sebagai juara medan selera di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) peringkat Selangor. Apabila dimaklumkan medan selera di Tanjong Sepat ini mewakili Selangor sudah pasti kami teruja.

“Seramai empat panel juri hadir untuk membuat penilaian semalam dan pemenang dijangka diumum pada bulan depan,” katanya.

Semalam, Borhan yang juga wakil rakyat Tanjong Sepat menyambut kedatangan empat panel juri yang membuat lawatan dan penilaian secara keseluruhan di medan selera berkenaan.

Borhan berkata, Medan Selera Batu Laut pada asalnya bangunan lama yang terbiar dan tersorok tetapi dibina semula demi keselesaan pengunjung pada 2020.

“Saya berasa medan selera ini perlu dibangunkan dan dicantikkan untuk keselesaan pengunjung kerana lokasinya berhampiran Pantai Batu Laut.

“Sebanyak 12 kedai di medan selera ini yang menjual pelbagai hidangan antaranya rojak paru, mi udang galah, sup utara dan makanan kampung,” katanya.


Pengarang :