Orang ramai memakai pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 10 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelitup muka tidak wajib di kawasan tertutup berkuat kuasa serta-merta

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan ruang tertutup kini atas pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Menterinya Khairy Jamaluddin berkata pemilik premis boleh menentukan sama ada
pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

“Sejak 1 Mei 2022, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-panggilan.

“Berdasarkan penilaian situasi semasa Covid-19, KKM ingin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka dalam bangunan kini adalah atas pilihan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menambah pemakaian itu masih diwajibkan untuk kes Covid-19, ketika menggunakan pengangkutan awam termasuk e-panggilan, kapal terbang, bas, van pekerja serta van sekolah.

Menurut Khairy, ia juga diwajibkan ketika berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan setara dengannya.

“KKM juga amat menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan di kawasan ramai dan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat beli-belah dan rumah ibadah.

“Turut digalakkan individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kronik, imuniti rendah dan ibu mengandung,” katanya lagi.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos 2020 susulan penularan pandemik Covid-19 ketika negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka mulai 1 Mei lalu di luar bangunan dan kawasan terbuka.


Pengarang :