Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (tiga, kiri) menyampaikan anugerah pertandingan R&D dan inovasi kluster bioteknologi kepada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ketika majlis perasmian penutup Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor 2022 di Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

47 pempamer tempatan, antarabangsa kongsi idea dalam ekspo Selangor

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Lebih 47 pempamer tempatan dan antarabangsa terlibat dalam Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata penganjuran ekspo kali ini menyediakan 112 ruang pameran dan 89 secara dalam talian menarik penyertaan pempamer luar dari United Kingdom, Singapura dan Taiwan.

“Ini membuktikan SRIE menjadi antara pilihan terbaik bagi pihak luar untuk mengembangkan idea penyelidikan seterusnya menggalakkan lebih banyak kolaborasi dan penyertaan pada masa akan datang.

“Antara kejayaan lain dicapai pada ekspo kali ini adalah padanan perniagaan antara Aquasel dan Ratnar, kolaborasi SRIE dan Pusat Robotik Kebangsaan bersama National University of Singapore (NUS),” katanya ketika merasmikan majlis penutupan SRIE 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Katanya, sesi perkongsian industri dan pembentangan ucaptama dalam kalangan penutur tempatan dan luar turut diadakan menyaksikan pelbagai idea baharu dalam bidang penyelidikan masing-masing diketengahkan.

Dalam ekspo itu juga diadakan pertandingan penyelidikan dan pembangunan antara organisasi dengan menyediakan lima kategori.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dinobat sebagai pemenang pertama bagi kategori bioteknologi, RO Plus (kejuruteraan), Top Glove (fizik gunaan dan kimia), Universiti Putra Malaysia (teknologi maklumat) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (sains perubatan).


Pengarang :