Bagindo Zainal Katoh (kanan) berjalan bersama cucunya di atas jambatan baharu di bina bagi memudahkan perjalanan penduduk kampung di Kampung Sungai Salak Batu 10, Gombak pada 5 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amirudin bantu percepat bina jambatan Kampung Sungai Salak

GOMBAK, 6 NOV: Campur tangan Dato’ Seri Amirudin Shari membantu mempercepat pembinaan jambatan kedua di Kampung Sungai Salak di sini yang telah dinantikan penduduk sejak 12 tahun lalu.

Ia mengatasi masalah kesesakan di perkampungan itu kerana sebelum ini hanya ada satu jambatan digunakan 1,000 penghuninya untuk ke jalan utama yang dipisahkan dengan Sungai Gombak.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sungai Salak berkata jambatan sedia ada itu juga terhad untuk kenderaan berat bawah dua tan menyebabkannya tidak boleh dilalui jentera penyelamat seperti bomba sekiranya berlaku kecemasan.

Menurut Hamili Zakaria, pada 2010 pihaknya memohon bantuan daripada sebuah parti politik menguasai kerajaan pusat pusat pada waktu itu namun hanya sia-sia tanpa ada perkembangan.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penduduk di atas jambatan yang baharu di bina ketika Program bersama rakyat di Kampung Sungai Salak, Gombak pada 5 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SElANGORKINI

“Kita juga ada memohon dengan “YB kita yang lari” ini tetapi “YB lari ini” pun tak ambil berat,” katanya kepada Selangorkini.

Walaupun tidak menyebut nama wakil rakyat itu, beliau mungkin merujuk kepada bekas Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai Bersatu dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada 2020.

Hamili berkata penduduk kemudian meminta bantuan daripada pejabat Dato’ Menteri Besar yang mendapat perhatian Amirudin yang meminta penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Rahim Kasdi menguruskannya.

“Tahun lalu MB datang umum peruntukan RM500,000, jambatan ini mula digunakan sejak sebulan lalu yang mempercepatkan pergerakan penduduk.

“Terima kasih kepada MB yang mempercepatkan permohonan mendapat jambatan baharu, ia siap dalam enam hingga tujuh bulan sahaja selepas itu,” katanya.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) bertanding sebagai calon gabungan itu di Parlimen Gombak.

Selain mencabar Azmin dari Perikatan Nasional (PN), beliau juga bersaing dengan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional), Datuk Dr Aziz Jamaluddin (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).


Pengarang :