Sebahagian pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang menghadiri program ceramah Rapat Mega KEADILAN di Taman Melawati, Gombak pada 11 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Empat kerusi Selangor hadapi pertarungan sengit, kata penyelidik

SHAH ALAM, 18 NOV: Empat kerusi Parlimen di Selangor menghadapi persaingan sengit, sebahagian daripada 45 kawasan di Malaysia, menjelang hari pengundian esok seperti tinjauan firma penyelidikan Merdeka Center.

Kerusi tersebut adalah Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Kapar.

Kuala Selangor dan Kapar sebelum ini disandang wakil dari Pakatan Harapan (HARAPAN) iaitu Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Tanjong Karang pula disandang wakil Barisan Nasional (BN) Tan Sri Noh Omar yang digugurkan manakala Sungai Besar Datuk Muslimin Yahaya dari Perikatan Nasional (PN).

Secara keseluruhan tinjauan firma itu mendapati ada 45 kawasan yang disenarai sebagai berada dalam persaingan sengit dengan perubahan sokongan kurang 5 peratus undi.

Sebelum ini, Ilham Centre menyebut hanya tiga kerusi di negeri ini, daripada 26 kawasan di seluruh negara, berdepan persaingan sengit: Sungai Buloh, Sungai Besar, Kuala Selangor.

Tinjauan Merdeka Center antara 3 hingga 18 November mendapati Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh memenangi sehingga 82 kerusi, sementara Ilham Centre meramalkan gabungan tersebut boleh menguasai 86 kerusi.

Merdeka Center melakukan tinjauannya dengan menemubual menerusi panggilan telefon membabitkan 1,203 responden berusia 18 tahun ke atas yang dipilih secara rawak di 165 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.

Kesimpulan itu berdasarkan maklumat dikumpul dari 3 November hingga jam 12 tengah hari ini dan perkembangan baharu atau peristiwa selepas tempoh berkenaan tidak mewakili dapatan terbabit.

Cerapan kajian akhir Ilham Centre itu pula dilaksanakan antara 30 Oktober hingga 17 November membabitkan kaji selidik secara bersemuka dengan 1,211 responden di seluruh negara manakala 150 lagi menerusi perbincangan kumpulan sasar.


Pengarang :