Hampir 100 usahawan Yayasan Hijrah Selangor sekitar Gombak mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Sesi dialog kumuniti usahawan Gombak di My Dulang Cafe, Gombak pada 17 November 2022.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Hijrah perkenal Skim i-Sosial, pembiayaan laksana aktiviti pendidikan, latihan

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 25 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan skim baharu kepada rakyat negeri ini dikenali sebagai Skim i-Sosial.

Dato’ Menteri Besar berkata skim tersebut memberi peluang kepada mereka yang memerlukan sumber kewangan bagi membiayai aktiviti pendidikan, latihan, membaik pulih rumah dan membaiki atau membeli kenderaan.

“Jumlah pembiayaan Skim i-Sosial bermula RM1,000 hingga RM10,000 dengan sasaran awal melibatkan jumlah sebanyak RM4.2 juta,” katanya dalam pembentangan belanjawan 2023 hari ini.

Selain itu, katanya antara penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan skim Hijrah pada tahun depan termasuk memperuntukkan RM130 juta untuk tawaran pembiayaan kepada usahawan.

“Peluang pembiayaan kepada rakyat Selangor juga disebar luas dengan melonggarkan syarat pembiayaan kepada peminjam yang mempunyai premis perniagaan bersempadan dengan Selangor seperti Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak.

“Kerjasama menerusi aktiviti pelaburan bersama antara Hijrah Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) akan diwujudkan untuk meningkatkan dan memantapkan aktiviti promosi dan pengedaran produk usahawan Hijrah Selangor di dalam dan di luar negara,” katanya.


Pengarang :