EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (kiri) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Johary Anuar melihat pelan tapak Kompleks dan Kemudahan Awam MBSJ ketika majlis pecah tanah projek berkenaan di Taman Wawasan pada 3 November 2022. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

MBSJ bina kompleks sukan moden bernilai RM16.25 juta, jangka siap Ogos 2024

SUBANG JAYA, 3 NOV: Sebuah Kompleks Sukan dan Kemudahan Awam Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bernilai RM16.25 juta bakal dibina di Taman Wawasan Pusat Bandar Puchong di sini.

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata kompleks berkeluasan 4.31 ekar yang dilengkapi gelanggang futsal bertaraf antarabangsa dijangka siap pada Ogos 2024

“Kompleks sukan ini berkonsep moden dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya gelanggang futsal bersaiz Fifa (42mx25m) berkapasiti 1,018 tempat duduk.

“MBSJ juga merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan yang membina gelanggang futsal bertaraf antarabangsa seumpama ini,” katanya hari ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Johary Anuar melakukan gimik pecah tanah pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks dan Kemudahan Awam MBSJ di Taman Wawasan pada 3 November 2022. Foto MBSJ

Terdahulu beliau disertai EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks dan Kemudahan Awam MBSJ di sini.

Johary berkata fasiliti dalam kompleks sukan berkenaan turut dilengkapi kemudahan bilik persalinan, bilik pengadil, bilik tamu, bilik media dan surau dan tandas.

“Projek berimpak tinggi ini dilaksana selaras bagi mendokong visi MBSJ mencapai sebuah bandar raya mampan yang bestari, kota niaga dan kediaman,” katanya.


Pengarang :