AGENDANASIONAL

Tinjauan: Tawaran HARAPAN sedia elaun khas hilang kerja jamin kebajikan

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 10 NOV: Inisiatif Pakatan Harapan (HARAPAN) menyediakan elaun khas kepada individu yang hilang pekerjaan diyakini mampu membela nasib dan kebajikan golongan pekerja.

Jurupulih anggota (physiotherapist) Raja Syazwani Asdayanty Raja Yunus, 31, berkata langkah itu membantu individu terjejas meneruskan kelangsungan hidup sementara mendapat pekerjaan tetap.

Raja Syazwani Asdayanty Raja Yunus. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGPRKINI

“Pemberian elaun khas pasti beri kelegaan kepada mereka yang hilang pekerjaan memandangkan keadaan ekonomi sekarang susah hendak dapat kerja.

“Sekurang-kurangnya dengan bantuan itu, mereka dapat langsaikan komitmen bulanan dan rancang kewangan dengan bijak,” katanya.

Bagi penyunting Haslinda Hassan, 53, mencadangkan program latihan seperti pemasaran digital atau infrastruktur awam diwujudkan bagi memberi nilai tambah kepada individu hilang pekerjaan selari keperluan tenaga teknologi di negara ini.

Norleesa Kamsah. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Kemahiran baharu seperti ini mampu meningkatkan kualiti, kebolehpasaran selain memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran,” katanya.

Peniaga dalam talian, Norleesa Kamsah, 31, berpendapat lebih baik menyediakan peluang pekerjaan kerana individu hilang pekerjaan mungkin tidak mahu mencari kerja baharu apabila menerima elaun itu.

“Bila tawar pekerjaan sekurang-kurangnya dapat bantu golongan yang hilang kerja asah kemahiran baharu dan tonjolkan kelebihan diri dan mungkin diserap menjadi kakitangan tetap selepas majikan nampak potensi mereka,” katanya.

Penyediaan elaun khas kepada individu hilang kerja kepada pekerja kontrak selagi aktif mencari kerja baharu merupakan antara inisiatif disenaraikan Tawaran HARAPAN jika diberi mandat mentadbir negara selepas memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


Pengarang :