Sebahagian daripada penduduk Saujana Utama yang menghadiri ceramah Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan calon HARAPAN Sungai Buloh Datuk R Ramanan di Saujana Utama pada 14 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tumpu masa depan rakyat, PRU15 bukan medan bincang siapa calon PM

SHAH ALAM, 15 NOV: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bukan medan buat calon bertanding untuk berbincang menentukan siapa presiden parti atau bakal perdana menteri.

Sebaliknya, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menegaskan pilihan raya merupakan detik penting yang menentukan masa depan negara ke arah lebih baik.

“PRU15 ini untuk menentukan masa depan negara, bukannya persoalan individu mana dan siapa. Kita bukannya hendak cari wakil rakyat yang bawa ke bulan atau ‘tall’, ‘dark’ dan ‘handsome’.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap menerusi program Santai Bersama Dato’ Menteri Besar di Saujana Utama pada 14 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ini masa depan negara. Bukan hendak tentukan siapa jadi presiden Umno atau perdana menteri untuk 10 tahun akan datang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ceramah kelompok di sini malam tadi.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar menegaskan negara menjadi kelam kabut dalam tempoh hampir tiga tahun bawah pemerintahan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

“Kedua-dua mengatakan mereka stabil makmur dan stabil bersih. Politik negara tidak pernah stabil sejak Februari 2020, namun tidak perlu diulas kerana yang lompat itu bertanding di Gombak.

“Sejak itu, negara berdepan pelbagai krisis dan cabaran antaranya politik lintang pukang, ekonomi, pandemik dan alam sekitar seperti banjir,” tegas Amirudin.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada perpecahan dalam Barisan Nasional (BN) termasuk antara dirinya dan pengerusi gabungan itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga calon BN Bagan Datuk kemudian memaklumkan Ismail akan dilantik semula sebagai perdana menteri jika gabungan itu diberi mandat mengetuai kerajaan.

 


Pengarang :