Sebanyak 295 reruai pameran yang terlibat pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bawa penulis, buku terbaik buat pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Selangor

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 2 DIS: Peserta Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 berharap dapat memberi pilihan buku terbaik kepada pengunjung selain memperoleh hasil jualan lebih tinggi kali ini.

Setiausaha Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Ts Amirul Firdaus Zilah berkata pihaknya yang mewakili 17 universiti akan mempamerkan 1,500 judul buku ilmiah antaranya melibatkan penyelidikan dan sejarah di 10 ruang pameran yang disewa.

Ts Amirul Firdaus Zilah

Beliau berkata pihaknya juga membawa lebih 40,000 buku untuk dijual dan berharap mendapat hasil jualan lebih tinggi kali ini.

“MAPIM dah sertai Pesta Buku Selangor sejak 2006 dan pernah dapat hasil jualan sehingga RM150,000.

“Kali ini kami mengadakan pelbagai program untuk menarik pembeli antaranya Republik Merah yang mana orang ramai boleh berinteraksi dengan penulis secara online, pelancaran buku dan sebagainya,” katanya.

Pengarah Urusan Jendela Informasi Sdn Bhd, Md Hazizul Md Hashim berkata, pihaknya telah menyertai Pesta Buku Selangor lapan kali dan berpuas hati dengan penganjur serta sambutan yang diterima daripada pengunjung sebelum ini.

“Kali ini sambutan pasti bertambah baik. Ini kerana pesta buku kali ini bertaraf antarabangsa dan jumlah peserta juga bertambah.

Md Hazizul Md Hashim

“Kami membawa 100 judul buku untuk dipilih pengunjung dan berharap hasil jualan yang lebih baik,” katanya.

Pegawai pemasaran Anjung Bonda Nor, Nadirah Muhamad Arib, 37, berkata, pihaknya membawa lebih 20 judul buku motivasi dan dakwah santai yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa.

“Ini kali pertama kami sertai pesta buku anjuran Kerajaan Selangor. Kami bawa hampir 1,000 naskhah buku dan planner untuk dijual dengan tawaran menarik,” katanya yang berharap mendapat sambutan selain menemui peminat buku keluaran Anjung Bonda Nur.

Nadirah Muhamad Arib

SIBF 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 1 hingga 11 Disember ini bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Terdapat 295 gerai pameran dibuka dengan 13 daripadanya adalah gerai antarabangsa melibatkan negara China, Singapura dan Indonesia.


Pengarang :