Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 30,000 jawatan kosong ditawar dalam karnival kerjaya minggu depan

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 2 DIS: Lebih 30,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena  Karnival Kerjaya Mega Selangor yang diadakan pada 10 dan 11 Disember ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Program bermula jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang itu adalah anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

“Lebih 300 syarikat atau majikan terlibat dengan menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk kewangan dan perbankan, perhotelan dan hospitaliti, teknologi maklumat, pembuatan, automotif dan sukan.

“Bidang lain termasuk pendidikan latihan, juruteknik, makanan dan minuman, borong dan peruncitan serta pemasaran dan jualan,” menurut hebahan di Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Terbuka kepada mereka yang dalam proses mencari kerja atau baru tamat pengajian, sesi temuduga bersemuka turut disediakan dalam program berkenaan.

Untuk sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan boleh layari laman sesawang, www.SelangorJobportal.com.my, imbas QR-Code di poster atau hubungi 03-5521 2407/ 2480/ 2279.


Pengarang :