Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain (kanan) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Tioman selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DUN N.42 Tioman menewaskan 4 calon lain dengan memperolehi majoriti 573 undi di Pusat pengiraan undi Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin pada 7 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

BN pertahan DUN Tioman, menang majoriti tipis 573 undi

ROMPIN, 7 DIS: Kerusi terakhir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menjadi milik Barisan Nasional (BN) apabila calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi DUN Tioman hari ini.

Mohd Johari, yang merupakan penyandang kerusi itu, menang dengan majoriti tipis 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.

Tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) mendapat 784 undi, Osman A Bakar (Pejuang) 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas), yang hanya memperoleh 58 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam ini.

Semasa pengumuman dibuat, hanya Mohd Johari dan Sulaiman yang menggunakan simbol udang berada di dewan itu.

Pengumuman keputusan itu disambut dengan tepukan daripada barisan kepimpinan BN negeri yang hadir di dewan itu pada 9.15 malam diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

SPR mengumumkan peratusan keluar mengundi sebanyak 58.39 peratus dan 91 undi ditolak.

Proses pengundian bagi DUN Tioman diadakan hari ini selepas ia ditangguhkan ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Keputusan itu menjadikan kedudukan BN dan PN di DUN Pahang selepas PRU15 masing-masing menguasai 17 kerusi manakala baki lapan kerusi lagi dimenangi HARAPAN.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak mengubah pentadbiran Pahang kerana BN dan HARAPAN telah menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang turut diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kerjasama itu juga membolehkan Wan Rosdy mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 28 November lepas.

Perkembangan itu juga menyebabkan HARAPAN menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan pendirian mereka untuk memberi laluan kepada calon BN pada pilihan raya tersebut kerana Mohd Fadzli adalah daripada Amanah.

Bagaimanapun, SPR memaklumkan nama Mohd Fadzli masih disenarai pada kertas undi dan pengundi boleh memberi undi kepada beliau kerana status pencalonan tidak boleh diubah selepas tempoh penamaan calon tamat.

– BERNAMA


Pengarang :