Taman Botani Negara Shah Alam dibangunkan di atas tapak Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan yang diwartakan pada 2007. Foto Facebook Taman Botani Negara Shah Alam
AGENDANASIONAL

Larangan memasuki hutan simpan kekal Selangor masih berkuat kuasa

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 30 DIS: Notis arahan penutupan operasi di semua kawasan hutan rekreasi bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Selangor sejak Oktober lalu masih berkuat kuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengarah Perhutanan Negeri Selangor berkata notis itu selaras Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018) mengenai larangan mana-mana individu memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit yang sah.

“Sekiranya didapati bersalah, denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negeri ini.

“Arahan penutupan semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor selama tujuh hari dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 17 Disember lalu berikutan situasi cuaca buruk dan musim tengkujuh,” kata Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid dalam kenyataan hari ini.

Katanya Jabatan Perhutanan Selangor menyeru orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi termasuk mandi-manda dan perkhemahan di kawasan hutan dan Taman Eko Rimba buat sementara waktu.

“Sebarang urusan dan pertanyaan lanjut boleh hubungi Jabatan Perhutanan Selangor dengan segera,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Selangor memaklumkan lima taman eko rimba di negeri itu ditutup kepada pengunjung awam mulai 1 November hingga 31 Januari depan.

Lokasi meliputi Taman Eko Rimba Sungai Tua, Sungai Tekala, Sungai Sendat, Gunung Nuang dan Komanwel.

Jabatan itu turut memaklumkan semua laluan pendakian dan aktiviti rekreasi dalam hutan simpan kekal negeri ditutup kepada pengunjung berikutan musim tengkujuh bagi tempoh 1 November ini hingga 31 Januari depan.


Pengarang :