Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

240,000 pesawah bakal terima bantuan khas RM500, tampung kos sara hidup

PUTRAJAYA, 3 JAN: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang mengenal pasti dan menyemak senarai pesawah yang layak untuk mendapat Bantuan Khas Padiberas Nasional Bhd (Bernas), kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Dalam kenyataan hari ini MAFS berkata LPP selaku agensi pembayar sedang mengenal pasti senarai berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan proses penyaluran bantuan khas berjalan lancar.

Menurutnya penyaluran peruntukan khas itu dilaksanakan secara berperingkat di tiga negeri Pantai Timur terlebih dahulu iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan seramai 20,598 pesawah.

“Manakala para pesawah dari negeri-negeri lain di seluruh negara akan menerima bantuan khas ini apabila baki berjumlah RM50 juta disalurkan bermula awal tahun 2023.

“Dianggarkan seramai 240,000 orang pesawah di seluruh negara akan menerima manfaat daripada sumbangan Bernas yang secara keseluruhan berjumlah RM60 juta,” menurut kenyataan itu.

MAFS berkata bantuan khas itu merupakan insentif khas kerajaan kepada pesawah oleh Bernas dalam membantu meringankan kos sara hidup para pesawah selain manfaat sedia ada yang disediakan oleh kerajaan dalam bentuk subsidi (input dan output).

Sebelum ini, Bernas bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya disediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pada 31 Disember lepas berkata seramai 20,598 pesawah di Pantai Timur akan menerima manfaat daripada Bantuan Khas Bernas sebanyak RM250 bagi setiap pesawah yang akan disalurkan secara berperingkat, selewat-lewatnya hingga 16 Januari ini. – BERNAMA


Pengarang :