Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Labis membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Paya Merah Lama, Labis, Johor pada 24 Januari 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, Pahang dan Johor berkurang

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Seramai 12,582 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri dengan jumlah mangsa di Sabah terus mencatatkan peningkatan setakat 2 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan petang ini memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,523 orang daripada 2,966 keluarga yang ditempatkan di 33 PPS di lima daerah, berbanding 6,843 orang daripada 2,412 keluarga pagi tadi.

Kota Marudu menjadi daerah paling terjejas dengan 6,150 mangsa banjir daripada 2,208 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS manakala 1,522 orang daripada 530 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pitas.

Seramai 718 orang daripada 199 keluarga pula dipindahkan ke 10 PPS di Paitan, 109 orang daripada 24 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Tawau dan 24 orang daripada lima keluarga dipindahkan ke dua PPS di Telupid.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan mangsa banjir meningkat sedikit kepada 327 orang daripada 99 keluarga berbanding pagi tadi iaitu 323 orang daripada 97 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Rompin.

Mangsa banjir paling ramai ialah di PPS Kampung Setajam iaitu 165 orang, PPS Balai Raya Kampung Rekoh (122) dan PPS Balai Raya Bukit Lepas (40).

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir turun kepada 3,676 orang yang ditempatkan di PPS, di tujuh daerah setakat 2 petang ini, berbanding 4,868 orang pada 8 pagi tadi.

JPBN memaklumkan 10 PPS telah ditutup termasuk masing-masing satu di Pontian, Mersing dan Muar, tiga di Kota Tinggi serta masing-masing dua di Segamat dan Kluang.

Mersing kekal daerah yang paling teruk terjejas banjir dengan 1,795 mangsa, diikuti Kluang (874), Kota Tinggi (486), Batu Pahat (363), Segamat (131), Muar (19) dan Tangkak (15).

Sebanyak lima sungai di negeri itu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat dengan bacaan 19.08 meter (m); Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.43 m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.42 m); Sungai Endau, Mersing (2.83 m) dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.35 m).

Di SARAWAK, JPBN memaklumkan dua PPS yang beroperasi di Lundu dan Sematan telah ditutup secara rasmi pada 1.49 tengah hari tadi.

Menurutnya PPS berkenaan; SK Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak, diaktifkan pada Rabu susulan hujan lebat yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan termasuk Kampung Sebat Melayu.

— BERNAMA

 


Pengarang :