Kakitangan Infrasel melaksanakan kerja menurap jalan di Jalan Genting Highland – Batang Kali, Hulu Selangor pada 11 Januari 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Pantas selesai aduan, Infrasel turap jalan dalam tempoh 24 jam

SHAH ALAM, 12 JAN: Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) meneruskan kerja turapan di Jalan Genting Highland – Batang Kali di Hulu Selangor semalam.

Laluan itu dibaiki dalam tempoh 24 jam susulan aduan orang ramai menggunakan tanda pagar #Infrasel di Twitter, yang juga saluran rasmi untuk melaporkan sebarang kerosakan jalan.

Minggu lalu, Infrasel turut mengecat garisan jalan di Jalan Jati, Jeram, Kuala Selangor dan membersihkan longkang di Jalan Feri Lama, Pasir Penambang.

Agensi itu turut meminta orang ramai terus membuat aduan dengan memuat naik hantaran di Twitter bersama tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah jika berlaku kerosakan jalan.

Untuk rekod, Infrasel menurap lebih 20 jalan raya di beberapa daerah antaranya Gombak, Sepang, Petaling, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Langat, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Antara jalan yang siap diturap ialah Jalan Sawah Ban, Pasir Panjang, Sabak Bernam; Jalan Genting Highlands – Batang Kali dan Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam, Petaling.

Turapan turut dibuat di Jalan Selayang – Kepong; Gombak; Jalan B48, Dengkil Sepang; Jalan Kris 1, Kuala Selangor dan Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggalakkan orang ramai melaporkan isu jalan rosak dalam komuniti mereka di Twitter untuk ditapis dan disemak secara automatik.


Pengarang :