Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama kanak-kanak kelainan upaya ketika merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Cakna pendidikan anak istimewa, lebih banyak prasekolah khas bakal dibina

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memenuhi permintaan ibu bapa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha menubuhkan pusat jagaan harian anak kelainan upaya (OKU) berusia lima hingga enam tahun sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan.

Beliau memaklumkan hampir 100 permohonan untuk masuk ke Prasekolah AnIS pertama yang ditubuhkan di Seksyen 7 di sini dengan 35 daripadanya sedang mengikuti pembelajaran.

“Selebihnya kita lihat keupayaan untuk wujudkan banyak Prasekolah AnIS.  Selain pastikan anak istimewa terima pendidikan, kita mahu beri peluang kepada ibu bapa hantar anak mereka kerana kos pusat jagaan anak istimewa serta prasekolah di luar agak tinggi.

“Jadi, kita kena bincang dengan Jabatan AnIS, namun kita melihat model ini (Prasekolah AnIS Seksyen 7) sebagai projek perintis dan nampak berjaya kerana yang penting selepas ini adakah ia mampu bertahan,” katanya ditemui selepas melancarkan pusat berkenaan hari ini.

Kanak-kanak kelainan upaya mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Hadir sama EXCO Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud, Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei.

Pusat Prasekolah AnIS dibangunkan bagi menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk murid yang berdepan masalah pembelajaran.

Inisiatif itu khusus untuk kanak-kanak autisme, sindrom down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan kanak-kanak lewat perkembangan (GDD).

Dua sesi pembelajaran diadakan iaitu sesi pagi (8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari) dan sesi petang (1.30 petang hingga 5.30 petang).

Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7 Shah Alam yang dirakam pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :