BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Poon choy: Dari hidangan maharaja ke juadah rakyat

Oleh SULYN CHONG

Sambutan Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa dirai bersama insan tersayang di meja bulat yang terhidang aneka juadah masakan ibu dan nenek.

Seboleh-bolehnya resipi turun-temurun itu dikekal termasuk aroma yang menyelerakan meski sedikit sebanyak ada perubahan dibuat sesuai peredaran masa.

Hidangan yee sang dan bebola nasi tang yuan yang menjadi kebanggaan masyarakat Cina juga tidak terlepas mengalami evolusi termasuk tambahan perisa dan bahan baharu.

Selain acara menggaul yee sang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina, satu lagi hidangan yang memiliki ikatan simbolik dengan perayaan itu ialah poon choy.

Jika diterjemah secara langsung, juadah itu bermaksud belanga sayur. Namun, dalam kalangan orang Cina, mereka memanggilnya sebagai belanga kemakmuran.

Sebenarnya, asal-usul poon choy tidak jelas. Mengikut sejarah warisan Kantonis, juadah itu mula dihidang lewat zaman Dinasti Song antara 960 hingga 1279 Masihi.

Juadah maharaja

Berdasarkan legenda, apabila tentera Mongol menyerang China, seorang maharaja muda bernama Bing melarikan diri dari istana menuju ke selatan sebelum tiba di sebuah kampung di wilayah Guandong.

Mendengar khabar kehadiran maharaja, penduduk di situ mengumpulkan semua jenis bahan makanan terbaik dan memasaknya untuk menjamu Baginda. Namun, mereka kekurangan dulang untuk menghidang makanan berkenaan. Justeru, mereka menggunakan belanga kayu besar.

Mereka termasuk penduduk kampung, anggota tentera, pegawai kepada maharaja menikmati hidangan itu. Maharaja juga tidak ketinggalan.

Belanga yang dipenuhi sehingga 20 jenis bahan makanan itu juga dianggap simbol kekayaan kepada sesebuah isi rumah, berdasarkan falsafah Cina.

Lazimnya, bahan juadah itu antaranya babi, daging lembu, kambing, sirip yu, ayam, itik, ikan, udang, ketam, bebola ikan, cendawan, sotong dan sayur-sayuran.

Lapisan paling bawah poon choy ialah sayur, hirisan daging, ikan manakala makanan laut pada permukaan paling atas. Tempoh penyediaannya mengambil masa empat hari. Setiap bahan perlu dimasak berasingan dan disusun mengikut lapisan. Ia kemudian dimasak atau direneh sekali lagi.

Poon choy juga menggambarkan nilai kesabaran ketika berdepan pantang-larang yang perlu diamal selama 15 hari dalam sambutan Tahun Baharu Cina. Kerja keras termasuk bilangan tukang masak yang menyediakan hidangan berkenaan dianggap lambang ikatan kekeluargaan.

Sejajar kisah sejarah maharaja makan bersama-sama anggota tentera dan penduduk kampung, poon choy turut dinikmati masyarakat Cina dalam sesebuah kawasan tanpa mengira latar belakang dan status.

Poon choy juga menjadi hidangan tradisi Tahun Baharu Cina buat masyarakat Cina di sebelah selatan (wilayah Guangdong dan Hong Kong), kebanyakannya orang Cina berbahasa Kantonis.

Di Malaysia, poon choy juga boleh menjadi permulaan baik untuk mengikat kembali hubungan kekeluargaan, lebih-lebih lagi sebahagian mereka tidak bertemu akibat kemelut pandemik Covid-19 selama dua tahun.


Pengarang :