Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meroboh struktur gerai statik Jalan Kerja Ayer Lama semalam untuk dijadikan parkir kepada pengunjung pusat komersial berhampiran.
Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariatnya berkata peniaga terlibat sudah menerima notis bagi memastikan mereka mengambil barangan sebelum kerja meroboh dijalankan.
“Kerja-kerja perobohan itu membabitkan sembilan gerai sedia ada yang telah dikosongkan peniaga sebelum ini.
“Terdahulu, tiga notis pemakluman pemindahan peniaga di gerai statik Jalan Kerja Ayer Lama telah dikeluarkan pada 2022,” katanya dalam kenyataan.
MPAJ memaklumkan semua peniaga berkenaan kini ditempatkan di gerai dan kiosk di Laman Selera MPAJ @ Ampang Jaya kira-kira 200 meter dari lokasi terbabit dan mula beroperasi sejak 16 Januari lalu.

Pada 19 Januari, seramai 11 peniaga Gerai Statik Jalan Ayer Lama menerima surat tawaran dan kunci gerai Laman Selera [email protected] Jaya daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata medan selera baru itu antara usaha memajukan dan menggalakkan aktiviti komersial usahawan sekitar Ampang Jaya dengan menaik taraf industri makanan dan minuman.
Medan selera dengan reka bentuk Brutalist seluas 0.71 ekar dibina menerusi peruntukan RM4.6 juta daripada KPKT turut melibatkan pembangunan sebuah Pusat Anaerobic Digester (AD) MPAJ berkeluasan 0.37 ekar.
Dalam usaha memajukan laman selera baru ini, peniaga terlibat diberikan pengecualian sewa selama tiga bulan sebagai penghargaan atas sokongan kepada MPAJ.
