EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap pada sidang media selepas menghadiri sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, SUK Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Elak sertai upacara agama lain, dikhuatiri jejas akidah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 8 FEB: Umat Islam di Selangor dinasihat supaya tidak menyertai upacara ritual agama lain yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata pihaknya memandang serius penularan video yang memaparkan beberapa individu dipercayai beragama Islam mengikuti perarakan Thaipusam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan itu dibimbangi boleh menjejaskan akidah serta iktikad mereka sebagai muslim.

“Merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan bahawa apa jua amalan dan pelakuan orang Islam dalam hal berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

“Kepada mereka yang telah mengikutinya dengan niat untuk bersuka-suka atau terlibat sebagai pesta kebudayaan dinasihatkan supaya bertaubat kepada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Zawawi berkata umat Islam juga disaran menghubungi Jabatan Mufti atau Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekiranya ingin mendapatkan pandangan dan penjelasan mengenai hukum syarak.

Baru-baru ini tular video berdurasi 45 saat memaparkan sekumpulan individu termasuk kanak-kanak dipercayai beragama Islam berarak bersama pedati mengikuti perayaan Thaipusam.

Dalam video itu juga terdengar beberapa Individu menyebut seakan sebutan upacara keagamaan tersebut.


Pengarang :