Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub beramah mesra bersama pelanggan selepas merasmikan Menu Rahmah bersama Persatuan Pengusaha Restoran Tom Yam Malaysia (PERTOM) di Medan Selera Lembah Keramat AU5, Kuala Lumpur pada 8 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Premis tawar Menu Rahmah dijangka meningkat dua kali ganda bulan depan

PUTRAJAYA, 27 FEB: Lebih 700 gerai dan restoran di seluruh negara sudah menawarkan Menu Rahmah, dan jumlah yang bakal menyertai inisiatif berkenaan dijangka meningkat dua kali ganda bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Pada bulan hadapan jumlah penawaran tersebut bakal meningkat dua kali ganda termasuk penglibatan francais restoran makanan segera bagi terus membantu mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Salahuddin berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Menu Rahmah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (arah selatan) di sini hari ini yang turut disertai Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menu Rahmah merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang digerakkan oleh peniaga secara sukarela, dengan menyediakan hidangan pada harga RM5 dan ke bawah.

Salahuddin berkata setakat ini tiada sebarang aduan rasmi diterima yang mengatakan makanan ditawarkan Menu Rahmah adalah koman atau tidak berkhasiat.

Contoh Menu Rahmah yang ditawarkan Restoran Ali Maju di Wisma Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 2 Februari 2023. Foto Facebook BERNAMA

“Dari awal lagi pemain industri terbabit dalam sesi libat urus berhubung penyediaan menu berkenaan, dan mereka tidak dipaksa malah sukarela untuk membantu rakyat bagi menyediakan hidangan yang berkualiti,” katanya dan maklum balas diterima menyatakan jumlah pelanggan para peserta juga semakin bertambah.

Salahuddin berkata langkah seterusnya adalah untuk bertemu dengan pemain industri sektor pembuatan dalam usaha untuk meringankan beban pemilik gerai makanan yang terlibat menawarkan Menu Rahmah.

“Saya akan berjumpa dengan pihak sektor pembuatan dan mungkin kita bincang sama ada pihak tersebut boleh beri harga ‘Rahmah’ kepada pemilik gerai. Itu langkah seterusnya yang akan dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata sebanyak 215 gerai di kawasan R&R di semua lebuh raya telah menawarkan Menu Rahmah setakat ini, dan lebih 100 gerai lagi di kawasan R&R juga disasarkan menyertai inisiatif berkenaan bulan depan.

Menurutnya, fasa pertama inisiatif berkenaan diperkenalkan untuk pengguna Lebuhraya Plus sejak 23 Feb lepas di beberapa R&R serta hentian sebelah di wilayah tengah lebuh raya berkenaan.

Fasa kedua dan ketiga yang akan mula dilaksanakan bulan depan melibatkan Lebuhraya Plus wilayah selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), katanya. – BERNAMA


Pengarang :