Orang ramai melihat persembahan tarian singa sempena Pesta Budaya dan Warisan Chap Goh Mei Kajang di Jalan Mendaling, Hulu Langat pada 5 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pusat bandar Kajang bakal diberi imej baharu, setaraf Petaling Street dan Jonker Walk

HULU LANGAT, 5 FEB: Pusat bandar Kajang di sini yang dahulunya terkenal dengan aktiviti perdagangan tradisional bakal dihidupkan semula melalui pemetaan budaya dan promosi pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Wakil rakyatnya berhasrat menjadikan pusat perdagangan pertama di Selangor yang mempunyai sejarah lebih 120 tahun itu setaraf Petaling Street di Kuala Lumpur, Georgetown (Pulau Pinang) dan Jonker Walk (Melaka).

Hee Loy Sian berkata sekitar 80-an, kawasan terbabit dikunjungi ramai orang setiap hari, namun beransur-ansur sepi susulan penghijrahan penduduk.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berucap merasmikan Pesta Budaya dan Warisan Chap Goh Mei Kajang di Jalan Mendaling, Hulu Langat pada 5 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Melihat pentingya memelihara dan melestarikan tradisi, maka terdapat keperluan meremajakan semula pusat bandar Kajang yang lama selain menghidupkan kehidupan serta aktiviti di kawasan ini.

“Kita mahu susun warisan tidak tercatat secara sistematik dengan merakam sejarah lisan daripada penduduk selain mengumpulkan catatan dan gambar bertulis sejarah,” katanya.

Beliau ditemui media pada Pesta Budaya dan Warisan Cap Goh Mei Kajang di tapak parkir Jalan Mendaling di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (tengah) bersama Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan (lima, kanan) hadir pada Pesta Budaya dan Warisan Kebudayaan Chap Goh Mei Kajang di Jalan Mendaling, Hulu Langat pada 5 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Loy Sian yang juga EXCO pelancongan berkata perbincangan lanjut berhubung hasrat itu akan dibuat bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan ahli majlis.

“Salah satu kaedah mungkin dengan membawa orang ramai datang ke sini dahulu seperti meraikan sambutan hari ini termasuk pesta kuih bulan. Penganjuran acara sebegini akan mengingatkan orang ramai untuk kembali Ke Kajang.

“Saya yakin inisiatif ini akan menjadi produk pelancongan warisan yang sangat baik sekali gus menarik kunjungan pelancong,” katanya.

Difahamkan, kawasan pusat bandar Kajang terdapat sekitar 100 rumah kedai tradisional di Jalan Tengah, Jalan Tukang dan Jalan Mendaling.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (dua, kiri) melawat bazar sempena perasmian Pesta Budaya dan Warisan Chap Goh Mei Kajang di Jalan Mendaling, Hulu Langat pada 5 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :