Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati, Kuala Selangor akan dibuka semula 14 Februari ini. Foto Ihsan EXCO kebudayaan dan warisan Borhan Aman Shah
AGENDAEXCONASIONAL

Teng-teng, galah panjang, batu seremban di Muzium Permainan Tradisional mulai 14 Februari

SHAH ALAM, 7 FEB: Muzium Permainan Tradisional di Kuala Selangor akan dibuka 14 Februari ini sekali gus membolehkan pengunjung terutama generasi muda mengenali dan menjiwai permainan tradisional.

EXCO kebudayaan dan warisan Borhan Aman Shah berkata majlis perasmian pembukaan semula muzium yang terletak di Bukit Malawati itu akan dilaksanakan pihaknya pada tarikh berkenaan.

Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati, Kuala Selangor akan dibuka semula 14 Februari ini. Foto Ihsan EXCO kebudayaan dan warisan Borhan Aman Shah

“Perasmian (pembukaan semula) Muzium Permainan Tradisional akan dilakukan pada 14 Februari ini.

“Kerja persediaan dan persiapan untuk majlis tersebut giat dijalankan,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut Borhan kerja melukis mural di dinding bangunan muzium itu siap sepenuhnya pada 10 Januari lalu.

“Kerja melukis mural ini adalah kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) serta Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya.

Antara tarikan Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati, Kuala Selangor yang akan dibuka 14 Februari ini. Foto Ihsan EXCO kebudayaan dan warisan Borhan Aman Shah

Selain itu, katanya Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor pula masih dibuka seperti biasa kepada pengunjung.

“Kerja pembaikan kecil kemudahan muzium telah selesai dilaksanakan pada Disember 2022,” katanya.

Sebelum ini, Borhan berkata kewujudan muzium permainan tradisional membolehkan pengunjung mengenali dan menjiwai permainan tradisional.

Pelbagai aktiviti disediakan termasuk memberi pengunjung pengalaman mencuba sendiri dan menjiwai kehidupan masyarakat dahulu melalui pelbagai jenis permainan tradisional seperti batu seremban, congkak, sepak raga, teng-teng dan galah panjang.


Pengarang :