Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) pada sidang media Teater Komedi Seram Anti Dadah Dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya di pejabat MBI, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hiburan sebagai platform sampai mesej perangi penyalahgunaan dadah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 16 MAC: Dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah khususnya generasi muda Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor mementaskan teater komedi seram antidadah Dari Cherok Tok Kun Ke Putrajaya pada 26 Mei ini.

Pengerusi Biro Belia dan NGO Pemadam Selangor Syahrizal Ismail berkata teater itu adalah kesinambungan pementasan Dari Cherok Tok Kun Ke Gombak pada 2019.

“Kita berbesar hati kerana dapat sumbangkan aktiviti kemasyarakatan menerusi pementasan teater ini yang turut mengangkat tema antidadah.

“Usaha ini diambil bagi meluaskan penyampaian mesej antidadah kepada masyarakat berikutan statistik penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda menggerunkan.

“Justeru kita ambil pendekatan berbeza sampaikan mesej menerusi pementasan teater kerana kita yakin hiburan mampu sampaikan mesej dengan lebih berkesan dan mendalam,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media teater Dari Cherok Tok Kun Ke Putrajaya di Bangunan Darul Ehsan di sini semalam.

Syahrizal berkata pihaknya turut menampilkan barisan selebriti tanah air yang turut menyatakan sokongan padu dalam usaha membasmi gejala dadah di negara ini.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata teater itu dibintangi ratu rock tanah air Ella sebagai penampilan khas selain menampilkan Jo Branko (bekas gitaris Wings), Jojie (kakak Ella), Kapten Azhar (suami Ella) dan Chef Yang Jamil.

Selain itu ia turut dibintangi barisan pelawak antaranya Imuda, Abu Mamu, Caca Raja Lawak dan Kumpulan Kiut juara gegar lawak musim pertama.

Syahrizal berkata 1,000 tiket disediakan dan masih ada 900 tiket lagi sebelum dipentaskan di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini.


Pengarang :