AGENDANASIONAL

Pemulihan bekalan air sehingga 12 tengah hari capai 18.2 peratus

SHAH ALAM, 25 MAC: Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai 18.2 peratus sehingga jam 12 tengah hari.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung lokasi dan jarak premis pengguna.

Dalam kenyataan hari ini Air Selangor memaklumkan bekalan air disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi esok.

“Air Selangor menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan,” kata kenyataan itu menerusi Facebook.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di 55 kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam bermula jam 10 malam tadi selepas kejadian paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang.

Air Selangor menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa boleh diperoleh menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook dan aduan boleh diajukan di Help Centre di www.airselangor.com.


Pengarang :