Keadaan kereta yang terbakar menyebabkan tiga maut termasuk dua rentung dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 172, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan Kampung Kwongsai, dekat Segamat, pada 27 Mei 2023. Foto Korporat JBPM
AGENDAJENAYAH

Tiga maut termasuk dua rentung kemalangan dua kenderaan di Segamat

JOHOR BAHRU, 28 MEI: Tiga lelaki maut termasuk dua rentung manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 172, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan Kampung Kwongsai, dekat Segamat, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zairy Marinsah berkata kejadian 6.30 petang itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Sienta dan kenderaan jenis Mercedes Benz.

“Pemandu MPV Toyota Sienta dari arah Johor Bahru sedang menghala ke arah bandar Segamat, dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke aliran jalan bertentangan dan bertembung dengan Mercedes Benz yang menghala ke arah Johor Bahru.

”Pemandu Toyota Sienta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Mercedes Benz dan seorang daripada penumpangnya juga disahkan meninggal dunia. Seorang lagi penumpang Mercedez Benz mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata saksi awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat melalui talian 07-9325811 dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.24 petang dan 10 anggota serta satu jentera FRT, satu jentera EMRS dan satu utiliti Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

”Ketika sampai, sebuah kereta jenis Mercedes Benz terbakar 70 peratus selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan Toyota Sienta.

”Di dalam kereta terbakar itu, terdapat tiga mangsa yang seorang telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam manakala dua lagi tersepit dan rentung,” kata Mazuki dalam kenyataan berasingan hari ini.

Beliau berkata Toyota Sienta terbabas dan jatuh ke dalam gaung pada kedalaman 15 kaki dengan terdapat seorang mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis manakala yang cedera dihantar ke Hospital Segamat.

– BERNAMA


Pengarang :