Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada johan kategori IPT pertandingan akhir Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor (UIS), Hulu Langat pada 28 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

UKM juarai debat Piala Dato’ Menteri Besar kategori IPT

HULU LANGAT, 28 MEI: Pasukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya membolot gelaran juara debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2023 kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) hari ini.

Selain berjaya mengalahkan 47 pasukan lain, salah seorang peserta, Hafiz Hafizi Norependi berjaya merebut gelaran pendebat terbaik akhir kategori IPT.

Pasukan yang disertai Hafiz dan Sharifah Umairah Syed Mustaffa membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, piala pusingan, trofi dan sijil penyertaan.

Pendebat terbaik akhir kategori IPT Hafiz Hafizi Norependi

Naib johan dan tempat ketiga dimenangi pasukan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM2,000, trofi serta sijil penyertaan.

Penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis penutup pertandingan berkenaan di Universiti Islam Selangor (UIS) di sini.Turut hadir rektor UIS Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Sharifah Umairah Syed Mustaffa

Sharifah Umairah berkata kejayaan itu adalah hasil usaha beliau, rakan-rakannya serta penyelia yang berlatih kira-kira dua bulan.

“Pesaing-pesaing kami juga tidak kurang hebatnya, penat lelah kami akhirnya terbalas dengan kejayaan ini,” katanya.

Sebanyak 48 pasukan menyertai pertandingan itu dengan 36 penyertaan IPT manakala 12 pasukan lagi kategori prauniversiti.

Pertandingan akhir debat yang julung kali diadakan dengan konsep ala Parlimen British mengupas topik Rancangan Selangor Pertama (RS-1): Harapan Baharu untuk Selangor.


Pengarang :