Orang ramai mendengar syarahan Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21 oleh Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ulama besar Mesir seru dalami kitab turath, panduan hidup bersyariat

GOMBAK, 24 MEI: Pengetahuan turath menjadi prinsip penting kepada umat Islam bagi mendapatkan kehidupan bawah naungan syariat, kata bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah.

Tokoh ulama dunia itu berkata turath yang bermaksud warisan dan mempunyai nilai tinggi akan melahirkan prinsip ilmu untuk dijadikan contoh seiring dengan perkembangan semasa.

“Ilmu ini untuk membentuk kehidupan supaya kita menjadi lebih kuat dan beriltizam bawah naungan syariat.

“Walaupun zaman beredar, kita tidak hanya berpegang dengan ilmu turath pada ketika itu sahaja sebaliknya turut melihat warisan lama.

“Turath menyerupai harta pusaka. Warisan ini ada nilai besar dan memang menjadi khazanah yang perlu difahami,” katanya memberi syarahan bertajuk ‘Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21’ pada program Munaqasyah Ilmiah.

Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21 ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Program sempena penganjuran Festival Turath Islami Selangor berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini.

Majlis dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut disertai 145 ulama dari  institusi pengajian Islam tradisional, ahli akademik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) muslim.

Festival Turath Islami Selangor berlangsung sehingga esok anjuran Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Orang ramai mendengar syarahan Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21 oleh Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :