Gambar hiasan menunjukkan seorang lelaki menyiram wajah dengan air berikutan cuaca panas terik. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Masjid, surau diminta adakan solat hajat mohon doa kesejahteraan masyarakat, negara

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta melaksanakan solat hajat hari ini bagi memohon kesejahteraan buat negara dan masyarakat berikut keadaan cuaca panas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan semalam berkata masjid dan surau di bawah dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta berbuat perkara sama.

“Negara sedang berhadapan dengan keadaan cuaca panas dan kering yang memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat dalam urusan seharian. Sehubungan dengan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa supaya cuaca kembali berada dalam keadaan baik.

“Saya telah meminta masjid di bawah seliaan Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, untuk melaksanakan solat hajat pada 1 Jun,” katanya.

Jabatan Meteorologi sebelum ini menjangkakan Malaysia mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan sehingga Ogos, susulan peralihan monsun.

– BERNAMA


Pengarang :