Calon DUN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni membantu Zuraidah Rebu yang menghidap angin ahmar mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang pada 12 Ogos 2023. Foto NINA FARZUIN MD SHAROM
ADNSELANGOR

Hidap angin ahmar bukan penghalang warga emas turun mengundi

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

KLANG, 12 OGOS: Seorang warga emas tidak terlepas menunaikan tanggungjawab mengundi seumur hidupnya biarpun kini terpaksa berkerusi roda kerana menghidap angin ahmar.

Zuraidah Rebu, 60, berkata kekurangan itu tidak menghalang beliau hadir ke pusat pengundian pilihan raya negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Setiap kali pilihan raya, memang saya bersemangat untuk datang mengundi walaupun dengan keadaan kesihatan tidak begitu baik.

“Pernah sekali saya tetap datang mengundi ketika dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak,” katanya kepada Selangorkini.

Zuraida yang ditemani anaknya berkata pilihan raya adalah masa yang perlu dimanfaatkan rakyat bagi memastikan calon pilihan dinobatkan sebagai wakil rakyat.

“Apa yang buat saya sentiasa bersemangat adalah sebab saya mahu lihat pemimpin yang saya suka menang di kawasan ini.

“Saya menetap di sini sudah lama, daripada tidak ada apa-apa, sampailah sekarang sudah membangun,” katanya.

DUN Sungai Kandis berdepan saingan tiga penjuru di antara penyandangnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Pakatan Harapan), Afriena Shaqira Sariff (Ikatan Demokratik Malaysia) dan Wan Dzahanurin dari Perikatan Nasional.


Pengarang :