Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Permatang Pasir pada Pilihan Raya Negeri di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Bukit Mertajam pada 12 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRN Pulau Pinang: Anwar, Dr Wan Azizah selesai mengundi

BUKIT MERTAJAM, 12 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti di sini, pada 9.41 pagi ini.

Anwar yang berkemeja biru dan bersongkok ditemani isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut mengundi di sekolah berkenaan.

Ketibaan mereka pada pukul 9.30 pagi disambut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin serta Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Assisten Tean Cheng San.

Selepas menunaikan tanggungjawab demokrasi, Anwar dilihat bersalam-salaman dan berkesempatan bergambar dengan pengundi yang hadir di pusat pengundian berkenaan.

Bagi PRN kali ini, kerusi Permatang Pasir menjadi rebutan dalam persaingan satu lawan satu antara penyandangnya Muhammad Faiz Fadzil dari Amanah dan calon Perikatan Nasional (PN) Amir Hamzah Abdul Hashim.

DUN Permatang Pasir adalah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh, selain Seberang Jaya dan Penanti.

– BERNAMA


Pengarang :