Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang menunggang motosikal tiba di pusat undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas, Gombak pada 12 Julai 2023. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB yakin HARAPAN-BN menang majoriti dua pertiga

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 12 OGOS: Dato’ Menteri Besar memberi keyakinan sehingga 80 peratus bahawa gabungan perpaduan bakal membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri (PRN) hari ini.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan antara 40 hingga 41 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

“70 hingga 80 peratus kita optimistik akan bentuk kerajaan dengan peningkatan peratusan pengundian khususnya dalam golongan komuniti Melayu dan kekalkan lebih 41 kerusi.

“Kita sudah berusaha sepanjang 12 hingga 13 hari ini berkempen. Hari ini satu hari yang akan menentukan masa depan negeri. Kita harap dapat kekalkan (penguasaan) dengan majoriti dua pertiga,” katanya.

Orang ramai mengambil peluang bergambar dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Menteri Besar ketika beliau meninjau pusat undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas, Gombak pada 12 Julai 2023. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Selayang Baru di sini pada jam 8.24 pagi untuk membuang undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Sebelum DUN dibubar, HARAPAN memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.


Pengarang :