AGENDASUKANKINI

Selangor, Pulapol juara bersama Hoki Piala Ketua Polis Negara 2023

IPOH, 23 SEPT: Kontinjen Selangor dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) KL diumumkan juara bersama Kejohanan Hoki Piala Ketua Polis Negara 2023 di Stadium Azlan Shah, di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas perlawanan akhir kategori Premier itu terpaksa dihentikan kerana hujan lebat ketika kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan 2-2.

Tempat ketiga pula dimenangi bersama oleh Kontinjen Kuala Lumpur dan Johor.

Bagi saingan Divisyen 1, Kontinjen Sabah mengungguli kategori itu diikuti Briged Utara, manakala tempat ketiga dimenangi bersama oleh pasukan Melaka dan Negeri Sembilan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Untuk kejohonan kali ini, lapan pasukan bertanding untuk Kategori Premier, manakala Divisyen 1 melibatkan 11 pasukan.

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri itu, hadiah juga disampaikan kepada pemenang boling padang dengan tempat pertama dimenangi pasukan Kuala Lumpur, diikuti Selangor, manakala Pulau Pinang dan Pulapol KL di tempat ketiga secara bersama.

– BERNAMA


Pengarang :